Amerika Syarikat optimis tangani krisis perubahan iklim - Duta AS

McFeeters (kanan) bersalaman dengan Nik Nazmi pada majlis Sambutan Hari Kemerdekaan AS kali ke-247 yang akan diraikan pada 4 Julai ini di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur pada Selasa.
McFeeters (kanan) bersalaman dengan Nik Nazmi pada majlis Sambutan Hari Kemerdekaan AS kali ke-247 yang akan diraikan pada 4 Julai ini di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Amerika Syarikat (AS) optimistik dalam usaha mengambil langkah penting bagi menangani krisis perubahan iklim sekali gus memastikan kelestarian bumi terpelihara.

Duta Besar AS, Brian D McFeeters berkata, kesan perubahan iklim tidak dapat dinafikan mengakibatkan implikasi teruk seperti banjir tragis di Malaysia dan kebakaran hutan yang tidak pernah berlaku sebelum ini di AS.

"Tetapi apa yang lebih penting adalah mesej utama saya kepada anda semua ialah melihat sebab untuk menjadi optimis.

"Kita menjadi optimis disebabkan kerajaan, ahli perniagaan dan individu di seluruh dunia sedang mengambil langkah penting dalam menangani perubahan iklim," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat (AS) kali ke-247 di salah sebuah hotel terkemuka di sini pada Selasa.

Majlis berkenaan turut dihadiri tetamu kehormat, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Mengulas lanjut, McFeeters mengambil contoh di bawah kepimpinan Nik Nazmi apabila kerajaan Malaysia meningkatkan sasaran penjanaan tenaga boleh diperbaharui selain mempunyai potensi sebenar untuk menjadi peneraju global dalam penyimpanan karbon.

"Saya optimis kerana Malaysia sekarang menganjurkan Minggu Tenaga Asia 2023 dengan melibatkan usahawan dan wakil dari seluruh dunia, termasuk Penolong Setiausaha Jabatan Tenaga AS, Brad Crabtree untuk memberi tumpuan kepada peralihan tenaga diperlukan," jelasnya.

McFeeters ketika menyampaikan ucapan pada majlis Sambutan Hari Kemerdekaan AS kali ke-247 yang akan diraikan pada 4 Julai ini yang diadakan di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur pada Selasa.
McFeeters ketika menyampaikan ucapan pada majlis Sambutan Hari Kemerdekaan AS kali ke-247 yang akan diraikan pada 4 Julai ini yang diadakan di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur pada Selasa.



Dalam pada itu, McFeeters berkata, terdapat juga faktor untuk optimis kerana peralihan tenaga sedang dijalankan di AS apabila solar dan angin kini menyediakan lebih banyak kuasa elektrik daripada arang batu.

Justeru, beliau berkata, syarikat AS di Malaysia boleh memainkan peranan penting dalam cabaran tersebut.

"Sebagai contoh pada malam ini turut dipamerkan beberapa contoh usaha syarikat Amerika dalam memacu inovasi dalam teknologi hijau.

"Kami juga bekerjasama dengan Pusat Pemuliharaan dan Penyelidikan Hutan Hujan Tropika dan Kolektif Rimba Ampang Jaya agar tumbuhan indah yang berada di persekitaran kita ini akan ditanam semula dalam komuniti di seluruh Kuala Lumpur dan Selangor selaras dengan usaha perhutanan semula organisasi tersebut," jelasnya.

Sementara itu, McFeeters berkata, sambutan pada malam ini sebagai usaha meraikan kerjasama erat serta komprehensif antara AS dan Malaysia.

Menurutnya, bersempena tema sambutan pada malam ini iaitu 'Merah, Putih, Biru, dan Hijau' adalah mengenai menjaga serta melindungi alam sekitar selain menangani krisis iklim serta memastikan kelestarian bumi.

Lebih 1,000 tetamu menghadiri Sambutan Hari Kemerdekaan AS kali ke-247 yang akan diraikan pada 4 Julai ini yang merupakan anjuran Kedutaan Besar AS di Malaysia.

Acara yang bermula jam 7 malam itu dimeriahkan dengan persembahan daripada pasukan pancaragam Ekspedisi Marin AS III yang menghiburkan tetamu dengan pelbagai lagu.

Selain ia turut dimeriahkan dengan jamuan pelbagai hidangan masakan serta produk makanan dari AS termasuk ais krim jenama terkenal Cold Stone Creamery.