Kerajaan tumpu kesejahteraan rakyat, kemakmuran negara - PM

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Perpaduan akan terus memberi tumpuan dan keutamaan kepada kesejahteraan rakyat serta memastikan kemakmuran negara memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam prakata Tinjauan Ekonomi 2024 dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini berkata, Kerajaan Perpaduan juga kekal komited memastikan rakyat menikmati hasil kekayaan dan kemakmuran negara melalui pertumbuhan yang mampan dan inklusif.

"Menyedari hakikat ini, kerangka Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat dibangunkan dengan matlamat utama untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat,” kata beliau.

Kerangka yang dilancarkan 27 Julai lepas itu, kata Perdana Menteri, akan menjadi asas kepada dasar-dasar yang baru diumumkan menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 serta Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12.

"Justeru, kerajaan optimis dapat mencapai tujuh sasaran yang dihasratkan dalam tempoh 10 tahun akan datang. Pelaksanaan inisiatif ini dijangka dapat memacu pertumbuhan ekonomi negara pada kadar yang diunjurkan iaitu antara empat hingga lima peratus pada 2024,” kata beliau.

Anwar berkata, adalah penting untuk memastikan pengagihan kekayaan ekonomi negara dilaksanakan secara adil dan saksama dengan memberikan keutamaan kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang terbaik dan pendidikan yang berkualiti untuk semua rakyat.

Beliau berkata, dalam konteks guna tenaga dan upah, gaji perlulah setimpal dengan produktiviti pekerja manakala penyediaan perlindungan sosial dan kemudahan awam yang lebih baik termasuk pengangkutan, bekalan air dan elektrik serta perkhidmatan jalur lebar akan mewujudkan peluang yang lebih saksama bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat.

"Penyampaian perkhidmatan awam yang cekap disokong oleh agenda digitalisasi penting dalam memacu transformasi ekonomi,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan memberikan tumpuan kepada usaha meningkatkan kemampanan fiskal negara secara progresif dengan mempelbagaikan sumber hasil serta mengoptimumkan perbelanjaan bagi menangani ketirisan dan pembaziran.

Beliau berkata pelaksanaan beberapa dasar yang telah diumumkan baru-baru ini termasuk pelaksanaan projek di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12, akan memperkukuh usaha Malaysia untuk menjadi ekonomi terpenting di Asia dalam masa terdekat.

"Tahun 2024 dijangka menjadi tahun yang penuh harapan bagi Malaysia. Meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran dan perubahan struktur, namun daya tahan dan keupayaan kita untuk berinovasi mengagumkan,” kata beliau.

Anwar berkata, meskipun berdepan kelembapan ekonomi global, Malaysia berjaya merekodkan pertumbuhan 4.2 peratus pada separuh pertama 2023 dan dijangka mencatat sekitar empat peratus bagi keseluruhan 2023.

Beliau berkata, inflasi negara yang terkawal, keadaan pasaran buruh yang menggalakkan, rizab asing yang kukuh, lebihan akaun semasa dan tabungan negara yang tinggi serta kepesatan sektor kewangan dan pasaran modal yang teguh, terus mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi.

"Kejayaan dalam melakar pertumbuhan ekonomi dan menangani krisis tidak akan dapat dikecapi tanpa pengorbanan dan dedikasi rakyat.

"Kepelbagaian struktur ekonomi Malaysia dan keutuhan asas yang dibina atas jerih perih dan keringat rakyat selama ini telah meningkatkan daya tahan dan menempatkan negara di landasan pertumbuhan yang stabil,” kata Anwar.

Beliau berkata faktor itu, disokong oleh kekukuhan dasar dan pelan tindakan bertunjangkan kerangka Ekonomi Madani serta pelaksanaan langkah dan inisiatif pragmatik berterusan yang ditetapkan oleh kerajaan akan memastikan ekonomi Malaysia terus teguh dan kekal berdaya tahan. - Bernama