Belanjawan 2024 tumpu kesejahteraan rakyat - Penganalisis

 Belanjawan 2024 Malaysia Madani yang dibentangkan Kerajaan Perpaduan pada Jumaat, disifatkan penganalisis sebagai menyeluruh, meliputi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat, serta strategi bagi memacu ekonomi negara ke tahap lebih baik. - Gambar hiasan
Belanjawan 2024 Malaysia Madani yang dibentangkan Kerajaan Perpaduan pada Jumaat, disifatkan penganalisis sebagai menyeluruh, meliputi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat, serta strategi bagi memacu ekonomi negara ke tahap lebih baik. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Belanjawan 2024 Malaysia Madani yang dibentangkan Kerajaan Perpaduan pada Jumaat, disifatkan penganalisis sebagai menyeluruh, meliputi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat, serta strategi bagi memacu ekonomi negara ke tahap lebih baik.

Penganalisis Politik dan Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr Jeniri Amir berkata, belanjawan itu, seiring konsep Madani yang mengambil kira kepentingan dan kebajikan semua lapisan rakyat, menerusi teras kemampanan.

"Tumpuan belanjawan kali ini mendukung usaha menangani pelbagai isu rakyat seperti kos sara hidup yang tinggi, serta pembangunan di Sabah dan Sarawak.

"Peruntukan itu diberikan bagi memastikan rakyat mendapat bekalan barangan asas dengan harga yang berpatutan, dalam situasi negara berdepan isu kos sara hidup,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Jeniri berkata, belanjawan berkenaan juga, memperlihatkan komitmen kerajaan untuk memacu ekonomi negara ke tahap lebih baik, ketika berdepan cabaran dan ketidaktentuan ekonomi global namun pada masa sama menyokong agenda pembangunan dan kebajikan negara.

"Langkah kerajaan memberi penekanan kepada aspek ketelusan dan akauntabiliti memang wajar disedari, kerana dengan wujudnya nilai dan amalan berkenaan dapat menjamin peruntukan tidak disalahgunakan atau dibazirkan.

"Keterangkuman dan keberkesanan kesemua ini, menyumbang kepada wujudnya satu pentadbiran yang Madani, demokratik dan mampu berfungsi dengan baik,” katanya.

Dalam belanjawan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pendekatan penyasaran semula subsidi, akan dilaksanakan secara berfasa mulai tahun hadapan.

Artikel Berkaitan:

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, peningkatan keperluan belanjawan itu, yang dijangka mencecah RM81 bilion berbanding RM64 bilion pada Belanjawan 2023, ialah akibat daripada langkah kerajaan mengekalkan harga barangan bersubsidi, walaupun berdepan kenaikan luar jangka harga komoditi dunia.

Ahli Parlimen Tambun itu juga mengumumkan sejumlah RM12.4 bilion diperuntukkan untuk pembangunan di Sabah dan Sarawak.

Mengulas mengenai langkah Anwar untuk menambah baik tatakelola syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pengurusan hutang negara, Jeniri berkata, aspek tatakelola atau tadbir urus yang baik dalam kalangan kementerian dan semua pihak dalam mengurus dana dan projek untuk rakyat, merupakan satu aspek kritikal.

"Hal ini bagi memastikan tidak berlaku ketirisan dan pembaziran yang merugikan rakyat dan negara, sehingga turut menjejaskan imej negara di mata rakyat dan negara luar.

"Hanya dengan adanya kesedaran tinggi dan amalan teguh terhadap prinsip tersebut, kita akan dapat memastikan segala peruntukan itu akhirnya mengalir ke akar umbi dan rakyat,” katanya.

Selain itu, Jeniri berkata, kemajuan dan pembangunan dalam sesebuah negara dapat dicapai, jika peruntukan dalam belanjawan itu dapat dilaksanakan dengan efisien mengikut perancangan oleh penjawat awam dan kontraktor terbabit.

Sementara itu, penganalisis politik yang juga pensyarah kanan komunikasi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff berkata, beliau melihat terdapat hubungan kuat antara pelan ekonomi Madani dengan belanjawan kali ini.

"Belanjawan kali ini meletakkan keutamaan kepada kecukupan pemakanan, pertanian berteknologi tinggi, insfrastruktur awam yang diperhebatkan, serta memastikan tatakelola pengagihan peruntukan kerajaan disalurkan kepada pihak-pihak tertentu.

"Dengan menambah baik tatakelola agensi-agensi kerajaan, peruntukan dapat disalurkan dengan cekap, pantas dan berkesan kepada pihak-pihak yang difokuskan,” katanya. - Bernama