Penuntut kolej swasta diganggu lelaki gila seks

Tangkap layar rakaman yang tersebar di aplikasi sosial.
Tangkap layar rakaman yang tersebar di aplikasi sosial.
A
A
A

KOTA BHARU - Beberapa penuntut sebuah kolej swasta di bandar ini diganggu individu gila seks yang merakam gambar dan video mereka secara curi-curi sebelum dimuat naik ke satu aplikasi media sosial dengan kata-kata lucah.

Kejadian disedari empat daripada mangsa berusia 19 tahun pada jam 12 tengah hari, 28 September lalu selepas diberitahu oleh rakan sekolej yang terlihat gambar mereka di aplikasi berkenaan.

Salah seorang mangsa yang dikenali sebagai Shahni berkata, gambar mereka itu dirakam ketika berjalan keluar dari kolej untuk menuju pulang ke bilik sewa yang terletak sejauh kira-kira 100 meter.

Katanya, mereka lengkap berpakaian baju kurung dan bertudung berjalan seperti biasa pada 25 September lalu serta tidak menyedari gerak-geri mereka dirakam oleh individu berkenaan.

“Saya terkejut dan cemas kerana gambar kami itu jelas menampakkan wajah masing-masing dan diletakkan pula keterangan yang tidak senonoh.

“Kami bimbang terhadap keselamatan kami dan perkara ini pertama kali berlaku menyebabkan kami takut untuk keluar berjalan walaupun di tempat awam,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, pada Jumaat.

Mangsa turut ditemani ahli keluarga dan Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim ketika membuat laporan itu.

Artikel Berkaitan:

Dr Hafidzah (tiga dari kiri) melihat laporan polis yang dibuat oleh Shahni (empat dari kiri).
Dr Hafidzah (tiga dari kiri) melihat laporan polis yang dibuat oleh Shahni (empat dari kiri).

Shahni berkata, individu yang melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu dipercayai seorang lelaki yang memandu kenderaan e-hailing namun tidak dapat mengesahkannya.

Menurutnya, dia mendapat tahu ada lagi penuntut perempuan lain yang berhadapan kejadian sama dan berasa risau akan keselamatan masing-masing.

“Lelaki itu disyaki berada di dalam kereta dan menunggu kami keluar dari kolej untuk merakam gambar secara rambang.

“Buat masa ini, kami berhati-hati dan sudah tidak menggunakan laluan sama untuk pulang ke bilik sewa selepas selesai kuliah di kolej,” kata Shahni.

Sementara itu, Dr Hafidzah berkata, beliau mahu satu tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa supaya dapat melindungi keselamatan awam terutama wanita.

Katanya, mengharapkan lebih ramai mangsa tampil untuk memerangi jenayah seksual termasuk yang berleluasa di media sosial.

“Perbuatan sebegini sangat tidak bermoral hingga menimbulkan gangguan kepada awam dan berharap pelakunya akan ditangkap untuk hukuman setimpal,” ujar beliau.