[VIDEO] Padah perdaya dua wanita, tawar pinjaman wang untuk habuan seks

A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Padah menipu wanita hingga mendorong mangsa melakukan seks dan memiliki gambar lucah, menyebabkan seorang lelaki dikenakan denda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Ahmad Saifullah Abdul Khalid,33, membuat pengakuan bersalah setelah tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua yang dibaca secara berasingan, dia didakwa telah menipu dua wanita masing-masing berusia 19 dan 33 tahun dengan memperdayakan mangsa untuk mempercayai tawaran pinjaman wang berjumlah RM300 dan RM2,000 hingga mendorong mangsa melakukan hubungan seks dengan tertuduh.

Ahmad Saifullah (tiga, kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa.
Ahmad Saifullah (tiga, kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa.

Kesalahan itu dilakukan di dua lokasi berasingan iaitu di sebuah hotel di Plaza Mahkota, jam 12.40 pagi pada 1 Mac lalu dan Jalan Tebing Tinggi Bukit Baru, di sini, pada jam 11 pagi, 10 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didapati memiliki tujuh keping gambar lucah di dalam telefon bimbitnya.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah sekolah maahad di Bukit Lintang, di sini, kira-kira jam 1.50 petang pada 3 Oktober lalu.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan bagi kesalahan itu dijalankan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh berkenalan dengan kedua-dua mangsa melalui aplikasi WhatsApp dan Omi sebelum menawarkan pinjaman wang dengan meletakkan syarat mangsa perlu melakukan hubungan seks dengannya sebelum diberikan pinjaman.

Namun selepas melakukan pinjaman mangsa masih tidak mendapat wang pinjaman seperti yang dijanjikan.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman denda dan tidak dipenjara kerana telah insaf dengan kesalahan yang dilakukan serta perlu menanggung kedua ibu bapa.

Tertuduh turut menanggung isteri yang masih belajar serta dua anak masih kecil.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai.

Majistret Sharda Shienha kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,500 bagi setiap pertuduhan di bawah Seksyen 417 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar.

Manakala bagi pertuduhan menyimpan gambar lucah, tertuduh dikenakan denda RM5,000 atau 10 bulan penjara jika gagal bayar.