Pentadbiran masjid, surau perlu lapor jika ada ajaran meragukan

Laporan muka depan Sinar Harian. (Gambar kecil: Mohd Nor)
Laporan muka depan Sinar Harian. (Gambar kecil: Mohd Nor)
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa pentadbiran masjid dan surau di negara ini perlu bertindak segera melaporkan kepada Jabatan Agama Islam sekiranya terdapat sebarang ajaran Islam yang meragukan.

Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr Mohd Nor Mamat berkata, pemerkasaan peranan jawatankuasa pentadbiran masjid dan surau itu perlu dilakukan dalam menangani ancaman ajaran sesat dan tidak semata-mata bergantung kepada Jabatan Agama Islam.

"Jawatankuasa pentadbiran masjid dan surau ini sepatutnya bukan semata-mata menguruskan solat Jumaat, majlis maulid, hari kebesaran Islam dan seumpamanya sahaja tetapi kena cakna dengan apa yang berlaku dalam kariah mereka.

"Kalau ada ajaran (yang menyeleweng) di ceruk-ceruk kampung, di kawasan-kawasan tepi hutan, siapa yang akan tahu dulu sebab (jarak) pejabat agama pun mungkin jauh. Jadi di sinilah pentingnya peranan pentadbiran masjid dan surau ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bahawa ancaman ke atas pegangan ahli Ahli Sunnah Wal Jamaah hari ini dilakukan secara terang-terangan oleh musuh Islam yang berselindung melalui gerakan batiniah tertentu.

Baginda bertitah, individu itu mempamerkan tindak tanduk individu sebagai ulama, ustaz, tuan guru dan seumpamanya namun pada hakikatnya mereka membawa ajaran yang menyeleweng dan tafsiran yang menyimpang daripada landasan Islam sebenar.

Mohd Nor memberitahu, setakat ini kerajaan dilihat sudah melakukan proses penguatkuasaan yang bagus dan berkesan kerana mana-mana pendakwah yang mahu berdakwah dan mengajar agama perlu mendapat tauliah daripada jabatan agama.

"Berdasarkan prosedur sedia ada, mereka yang mahu menyebarkan dakwah dan mengajar agama perlu mendapat tauliah. Itu adalah prosedur dibuat kerajaan yang saya rasa sangat-sangat membantu mengawal supaya tak berlaku perkara sebegini.

Artikel Berkaitan:

"Cuma saya yakin individu yang gelar diri dia ustaz atau ulama yang menyebarkan akidah salah ini adalah orang yang tidak melalui proses pentauliahan. Yang masalahnya pada saya ialah sifat masyarakat yang mudah menerima orang yang mengaku ustaz dan mendakwa dia pandai agama.

"Kadang-kadang dengan hanya berpakaian seperti orang alim sikit pun masyarakat terus terima dan anggap individu itu tahu agama. Jadi kalau berlaku keadaan seperti ini ia di luar kawalan kerajaan. Oleh itu masyarakat di peringkat akar umbi iaitu masjid dan suraulah perlu main peranan," ujarnya.