Pusat Kualiti Alam tidak jejas kesihatan penduduk

S VEERAPAN. Foto: Bernama
S VEERAPAN. Foto: Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Operasi Pusat Kualiti Alam di sini tidak menjejaskan kesihatan dan keselamatan penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan (Repah-PH) berkata, pihaknya sedia maklum mengenai kebakaran yang berlaku di lokasi itu sebelum ini dan pemantauan dari semasa ke semasa dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Memang berlaku tetapi tak menjejaskan keselamatan penduduk sekitar.

"Pusat Kualiti Alam itu juga mempunyai sistem keselamatan yang baik yang mana mereka boleh bertindak dahulu sebelum pasukan bomba tiba.

"Buat masa ini tiada apa-apa isu yang menjejaskan kesihatan penduduk dan JAS juga sentiasa membuat pemantauan," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Kamarul Ridzuan (Paroi-PN) ) berkenaan status Pusat Kualiti Alam terbabit ketika Persidangan Kedua (Perasmian) Penggal Pertama DUN Negeri Sembilan yang ke-15 pada Khamis.

Menurutnya, pada 3 Ogos 2018 kerajaan negeri telah mengemukakan surat cadangan penempatan semula atau penutupan Pusat Kualiti Alam terbabit kepada Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Malah katanya, kerajaan negeri turut membangkitkan isu berkenaan status penempatan semula pelupusan sisa berjadual terbabit dalam mesyuarat Exco pada 23 Oktober 2020.

Artikel Berkaitan:

"JAS telah memaklumkan hak eksklusif Pusat Kualiti Alam itu telah tamat pada tahun 2015 dan cadangan untuk perbaharui hak tersebut tidak dipersetujui Kerajaan Persekutuan.

"Selepas tahun 2015, Kerajaan Persekutuan telah membenarkan premis dilesenkan untuk menggalakkan industri menggunakan konsep mengitar semula bahan buangan berjadual tersebut," katanya.

Tambahnya, buat masa ini ia beroperasi seperti premis bahan buangan berjadual lain yang mana tiada hak eksklusif diberikan dan perlu memperbaharui lesen operasi setiap tahun yang dikeluarkan oleh JAS.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!