Sarvysswharrann terima anugerah Duta Penerbangan MBOR

Norazman (tengah) menyaksikan penyampaian sijil anugerah 'Malaysia Book of Record 2023: Most Aviation Ambassador Awards Obtain By A Child' oleh Poi Leng (kiri) kepada Sarvysswharrann di Podium B CAAM pada Selasa. - Foto Bernama
Norazman (tengah) menyaksikan penyampaian sijil anugerah 'Malaysia Book of Record 2023: Most Aviation Ambassador Awards Obtain By A Child' oleh Poi Leng (kiri) kepada Sarvysswharrann di Podium B CAAM pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pelajar Tahun Lima Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Taman Melawati, Kuala Lumpur, Y Sarvysswharrann, 11, menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) bagi Anugerah Duta Penerbangan Terbanyak diterima oleh kanak-kanak.

Kriteria MBOR bagi anugerah itu adalah seseorang kanak-kanak itu pernah sekurang-kurangnya menerima tiga anugerah duta penerbangan.

Sarvysswharran merupakan duta bagi AirAsia Young Ambassador, SimflightKL Aviation Services Brand Ambassador dan Asia Aeronautical Training Academy Brand Ambassador, yang ketiga-tiganya diterima pada tahun lepas.

Pengiktirafan itu disampaikan oleh pegawai MBOR, Lee Pooi Leng kepada Sarvysswharran yang disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Norazman Mahmud pada satu majlis pada Selasa.

Sarvysswharran berkata, pengiktirafan itu mendorong minatnya untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai cabang penerbangan di samping menumpukan pada mata pelajaran seperti matematik dan sains yang akan membantunya mencapai cita-citanya untuk menjadi juruterbang.

Bapa kanak-kanak itu, T Yogeswaran yang juga bekas jurutera penerbangan berkata, minat Sarvysswharran terhadap dunia penerbangan bermula seawal dua tahun dan sejak itu dia terus menyokong dan memberikan pendedahan mengenai industri itu kepadanya.

"Perancangan seterusnya, Sarvysswharran sendiri sedang berusaha untuk mencari maklumat tentang penerbangan bagi menambah baik pengetahuan dan berkongsi pengalaman dengan rakannya untuk menarik minat mereka.

"Sarvysswharran juga menghadiri kelas penerbangan simulasi dan juga pernah mengendalikan simulasi secara individu,” katanya.

Sarvysswharrann pernah mencipta beberapa kejayaan peribadi lain antaranya menamakan pesawat paling banyak iaitu 231 pesawat dalam masa enam minit di bawah kategori kanak-kanak lelaki berumur tujuh hingga sembilan tahun dan meraih kemenangan di International Digital Innovation in Wellness Exhibition (DINOWEX) 2021 anjuran Universiti Malaya (UM). - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!