Pesakit kritikal meningkat, jabatan kecemasan di Hospital Pulau Pinang sesak

Daniel
Daniel
A
A
A

GEORGE TOWN – Peratusan pesakit kritikal (Zon Merah) yang mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Pulau Pinang (HPP) meningkat daripada 6.79 peratus pada 2025 kepada 7.14 peratus sehingga Julai 2026.

Peningkatan turut direkodkan bagi pesakit separa kritikal (Zon Kuning) iaitu daripada 18.92 peratus kepada 19.81 peratus dalam tempoh sama.

Bagaimanapun, peratusan pesakit ringan (Zon Hijau) menunjukkan sedikit penurunan daripada 40.13 peratus kepada 40.06 peratus, manakala kategori bukan kecemasan (LOCUM) turut berkurangan daripada 34.16 peratus kepada 32.99 peratus.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) memandang serius isu kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma HPP yang dikenal pasti sebagai manifestasi masalah sistemik dalam aliran pesakit.

Menurutnya, tiga langkah utama diambil bagi menangani isu berkenaan menerusi pengukuhan pengurusan aliran pesakit, pengoptimuman kapasiti katil serta mempercepatkan proses discaj, selaras dengan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, KKM telah mengeluarkan Garis Panduan Pelaksanaan Langkah-Langkah Pengukuhan Pengurusan Aliran Pesakit menerusi pekeliling bertarikh 4 Jun 2026 yang merangkumi tiga langkah utama.

Langkah pertama ialah penyuraian pesakit bukan kecemasan di Zon Hijau bagi mengurangkan lambakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma melalui pemerkasaan kesihatan primer serta kawalan pintu masuk.

“Inisiatif itu merangkumi pelanjutan waktu operasi Klinik Kesihatan (KK) berkapasiti tinggi, pemantapan kriteria rujukan piawai bagi membolehkan pesakit berisiko tinggi dimasukkan terus dari KK ke wad hospital serta kerjasama awam-swasta melalui Skim Perubatan MADANI (SPM) dan PeKa B40 di klinik swasta berhampiran bagi kes berisiko rendah,” katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini pada Rabu.

Daniel (DAP-Padang Lalang) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Gooi Hsiao Leung (PKR-Bukit Tengah) mengenai langkah diambil kerajaan negeri bagi menangani masalah kesesakan dan tempoh menunggu yang panjang di Jabatan Kecemasan dan Trauma HPP.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Daniel berkata, langkah kedua membabitkan pengoptimuman pengurusan katil bagi menangani kekurangan katil serta kesesakan di Zon Merah dan Zon Kuning.

“Ia dilaksanakan menerusi pemerkasaan Unit Pengurusan Katil (BMU) untuk menyelaras aliran pesakit, pelaksanaan Dasar Katil Terbuka dan wad multidisiplin bagi membolehkan pesakit dimasukkan ke mana-mana katil kosong.

“Penggunaan papan pemuka digital turut membolehkan kapasiti katil dipantau secara masa nyata,” katanya.

Bagi langkah ketiga pula, beliau berkata, proses discaj dan penjagaan pasca-rawatan dioptimumkan bagi mempercepatkan pelepasan katil untuk pesakit baharu.

“Antara inisiatif dilaksanakan ialah penyediaan Discharge Lounge sebagai fasiliti transit dengan sasaran pengosongan katil sebelum jam 12 tengah hari.

“Selain itu, program penjagaan domisiliari di rumah dan rawatan antibiotik pesakit luar (OPAT) turut diperluaskan bagi mengurangkan kebergantungan pesakit terhadap rawatan di dalam wad,” katanya.

Dalam pada itu, Daniel berkata, pelan jangka panjang turut melibatkan pembukaan blok baharu HPP, iaitu Blok Wanita dan Kanak-kanak yang dijangka siap pada 2027, manakala Blok Klinik Pakar dan Wad dijangka siap pada 2029.

“Pembangunan baharu itu turut melibatkan pertambahan katil pesakit dan diharap dapat membantu mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan akibat kekurangan kapasiti wad,” katanya.

“KKM kekal komited memantau pelaksanaan inisiatif berkenaan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat lebih cekap dan responsif,” katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!