20 organisasi, personaliti terima Anugerah WHEA2022

Ahmad Zahid (tengah) bersama 21 pemenang WHEA2022 di sebuah hotel pada Rabu
Ahmad Zahid (tengah) bersama 21 pemenang WHEA2022 di sebuah hotel pada Rabu
A
A
A

SEBANYAK 20 organisasi dan seorang personaliti dipilih menerima anugerah pada World Halal Excellence Awards 2022 (WHEA2022) sempena pencapaian cemerlang dalam membangunkan industri halal negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, majlis anugerah tersebut signifikan dan mempunyai makna penting untuk kerajaan mengiktiraf pencapaian cemerlang di kalangan jaguh-jaguh ekonomi halal negara.

"Kita mencapai tahap baharu, mempelbagaikan produk kita dan berhubung dengan pasaran sekitar dunia. Kita serius membuka potensi industri trilion dolar ini.

"Pada skala global, pasaran halal dijangka berkembang daripada AS$3 trilion (RM14 trilion) pada 2018 kepada AS$5 trilion (RM23 trilion) menjelang 2030," katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis World Halal Excellence Awards 2022 (WHEA2022) di sebuah hotel di Petaling Jaya pada Rabu.

Turut hadir adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Sementara itu, ujar Ahmad Zahid, usaha HDC dalam mengeksport pengetahuan halal negara melalui Diplomasi Halal Malaysia juga diyakini dapat memperkembangkan potensi ekosistem yang ada.

"Konsep baharu Diplomasi Halal yang diterajui oleh HDC ini, boleh menetapkan piawaian emas global untuk Halal.

“Ini termasuk memudahkan perkhidmatan Halal merentasi sempadan, menggalakkan perkongsian teknologi dan penyelidikan, dan memastikan proses pengesahan Halal yang lancar. Dengan cara ini, kita boleh membina ekonomi halal global yang berdaya tahan dan mampan," ujarnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Halal Development Corporation (HDC), Khairul Azwan Harun berkata, pemenang-pemenang anugerah itu telah membuktikan bahawa mereka adalah penyumbang yang diterima dan dipuji dalam pembangunan ekonomi halal.

“Lima kriteria penyenaraian pendek yang kami gunakan untuk menilai penama termasuk menyebarkan kesedaran halal, produk atau perkhidmatan berkualiti tinggi sambil terus menyumbang kepada indeks pertumbuhan negara dalam eksport halal.

“Ini diperkukuh oleh penilaian juruaudit bebas terhadap prestasi mereka berdasarkan kestabilan dan daya tahan serta rekod prestasi penjenamaan yang cemerlang dengan lain-lain pengiktirafan yang berkaitan,” jelasnya.

Majlis anjuran HDC itu mempertandingkan dua kategori teratas termasuk Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan Halal yang dimenangi oleh Pengerusi Islamic Development Bank Group (IsDB) dan Anugerah Kecemerlangan Prestasi Negeri Halal oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Bagi kategori anugerah lain, Doluvo Sdn Bhd dan SK76 Marketing Sdn Bhd dianugerahkan Anugerah Kecemerlangan Usahawan PKS Halal; Anugerah Kecemerlangan Korporat Halal (Mydin Mohamed Holdings Berhad); Anugerah Kecemerlangan Kewangan Halal (IsDB dan Alliance Bank Malaysia); Anugerah Kecemerlangan Jenama Terkemuka Halal (Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd dan Flavettes) serta Anugerah Kecemerlangan Makanan dan Minuman Halal (Ajinomoto (Malaysia) Berhad and PS Food & Beverage Sdn Bhd)

Selain itu, Anugerah Kecemerlangan Logistik Halal (Tasco Berhad dan Quanterm Logistics Sdn Bhd); Anugerah Kecemerlangan Inovasi Halal (F&N Holdings Bhd dan Agym Nutrition Sdn Bhd); Anugerah Kecemerlangan Penjagaan Kesihatan Halal (Xepa Soul Pattison dan Culvita Sdn Bhd); Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Antarabangsa Halal (Marrybrown Sdn Bhd and Hana Medic Sdn Bhd) serta Anugerah Kecemerlangan Francais Halal (Kopitiam Asia Pacific Sdn Bhd dan City Coin Laundry Sdn Bhd).