Pembangunan Pulau Pinang jangan pinggir rakyat luar bandar

GEORGE TOWN – Pembangunan pesat Pulau Pinang perlu turut memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar, kampung tradisi dan komuniti setempat, khususnya di kawasan Kepala Batas serta Seberang Perai Utara.
Ketua Pemuda Amanah Kepala Batas, Abrar Sadiq berkata, kemajuan negeri tidak seharusnya diukur berdasarkan angka pelaburan dan jumlah projek pembangunan semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi.
Menurutnya, isu kos sara hidup, peluang pekerjaan bergaji setimpal, perumahan mampu milik, kesesakan lalu lintas, banjir kilat dan kemudahan asas perlu terus diberikan perhatian oleh kerajaan negeri.
Beliau berkata, pihaknya menyambut baik pembentangan Belanjawan Negeri Pulau Pinang 2027 oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow pada 30 Oktober lalu yang meneruskan komitmen kerajaan negeri dalam memacu pertumbuhan ekonomi, memperkukuh infrastruktur dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Dalam masa sama, Pemuda Amanah Kepala Batas turut menghargai kesinambungan Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 (APAI2030) menerusi beberapa peruntukan khusus untuk pembangunan institusi Islam.
Antaranya, RM14 juta bagi pembinaan tiga masjid baharu, RM15.07 juta untuk pembangunan tiga Sekolah Agama Rakyat, bantuan khas RM300 kepada petugas institusi pendidikan Islam serta RM1.5 juta bagi memperkasa ekosistem industri halal negeri.
Menurut Abrar, peruntukan berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan Pulau Pinang tidak hanya tertumpu kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan fizikal, malah turut merangkumi pengukuhan institusi agama, pendidikan Islam serta ekonomi ummah.
Beliau turut menyifatkan inisiatif pembangunan bakat dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), latihan kemahiran serta industri teknologi bernilai tinggi sebagai langkah penting dalam menyediakan peluang kepada anak muda untuk menyertai ekonomi masa hadapan.
Katanya, pembangunan sebenar perlu berteraskan prinsip keadilan, amanah dan maslahah rakyat seperti yang digariskan dalam perspektif Islam.
“Pulau Pinang harus terus maju, tetapi kemajuan itu mestilah membawa kesejahteraan kepada seluruh rakyat, bukan sekadar pembangunan yang dapat dilihat, sebaliknya manfaat yang benar-benar dapat dirasai,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
