Dua beradik terima Anugerah Eksekutif GiatMara

Nor Azizah (kiri) dan Nor Azimah (kanan) menerima Anugerah Eksekutif GiatMara pada Majlis Graduasi GiatMara Malaysia Zon Utara 2023 pada Selasa bersama ibu mereka, Maziah Zainol.
Nor Azizah (kiri) dan Nor Azimah (kanan) menerima Anugerah Eksekutif GiatMara pada Majlis Graduasi GiatMara Malaysia Zon Utara 2023 pada Selasa bersama ibu mereka, Maziah Zainol.
A
A
A

ALOR SETAR - Dua beradik berkongsi detik istimewa apabila masing-masing menerima Anugerah Eksekutif GiatMara pada Majlis Graduasi GiatMara Malaysia Zon Utara 2023 pada Selasa.

Nor Azizah Khairuddin, 20 dan Nor Azimah Khairuddin, 19, yang mengambil kursus jahitan di Pusat GiatMara Jerlun, dekat sini berazam mengejar cita-cita menjadi pereka fesyen pada suatu hari nanti, selain memasang impian memiliki sebuah butik pakaian dan pengantin.

Menurut Nor Azizah, mereka mengambil kursus tersebut selepas mendapat dorongan daripada keluarga selain mempunyai harapan untuk mempunyai perniagaan sendiri.

"Sebab ada cita-cita untuk jadi pereka fesyen dan jika ada rezeki mahu sambung belajar lagi. Kalau boleh teringin buka butik pakaian pengantin sendiri.

"Belajar tidak susah, awal-awal sahaja yang sukar sikit seperti guna mesin dan sebagainya tapi lama-lama dah boleh menjahit banyak baju jugalah," katanya yang belajar dalam tempoh enam bulan bagi tahap satu dan dua.

Nor Azizah berkata demikian selepas Majlis Graduasi GiatMara Malaysia Ke-36 bagi Zon Utara melibatkan 713 graduan dari negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Sementara itu, Nor Azimah pula berkata, antara kemahiran jahitan yang telah dikuasainya adalah berjaya menjahit beberapa jenis baju seperti baju kurung, baju Kedah dan banyak lagi.

"Alhamdulillah, tahun ini raya dapat buat baju sendiri bersama ahli keluarga lain tanpa perlu beli lagi. Selepas ini, jika ada rezeki boleh buka kedai sendiri sama seperti kakak," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, jika mempunyai tawaran sambung belajar ke peringkat universiti pula, perkara tersebut bakal dipertimbangkan mereka.

Seorang lagi penerima Anugerah Eksekutif GiatMara, Muhammad Ridhwan Hafizi Abd Hamid, 21, dari Pusat GiatMara Sik juga tidak menyangka akan menerima anugerah berkenaan.

"Saya memang minat kerja berkaitan kursus yang saya ambil ini, pasaran kerja bagi bidang ini juga meluas.

"Tambahan pula, saya ingin membantu ibu bapa serta keluarga yang banyak memberi sokongan dan dokongan kepada saya,” katanya yang mengambil Kursus Pendawaian Elektrik PW2.