Elaun MPKK Pulau Pinang naik mulai Januari 2027


GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang meluluskan kenaikan kadar elaun anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) melibatkan peruntukan tambahan RM4.5 juta setahun, berkuat kuasa Januari 2027.
Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat Pulau Pinang, Goh Choon Aik berkata, penambahbaikan itu menjadikan keseluruhan peruntukan elaun MPKK meningkat kepada RM17.55 juta setahun berbanding RM13.05 juta sebelum ini.
Menurutnya, semakan semula kadar elaun tersebut diluluskan menerusi Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 19 Oktober 2026 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan anggota MPKK dalam menjaga kebajikan masyarakat.
“Anggota MPKK merupakan antara barisan hadapan yang paling dekat dengan rakyat. Tanpa mengira waktu, merekalah yang sering menerima aduan, menghulurkan bantuan dan menggerakkan aktiviti masyarakat.
“Sumbangan masa, tenaga dan komitmen mereka amat bermakna dalam memastikan keperluan penduduk mendapat perhatian,” katanya.
Choon Aik (PKR-Bukit Tambun) berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini pada Rabu.
Melalui semakan itu, katanya, Elaun Pengurusan Mesyuarat dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 sebulan manakala elaun kehadiran mesyuarat meningkat daripada RM100 kepada RM150.
Jelasnya lagi, selain itu, elaun bagi tiga jawatan utama MPKK turut dinaikkan sebanyak RM100 sebulan.
“Elaun Pengerusi meningkat daripada RM700 kepada RM800, Setiausaha daripada RM600 kepada RM700 dan Bendahari daripada RM300 kepada RM400.
“Penambahbaikan ini diharap menjadi dorongan kepada anggota MPKK untuk terus melaksanakan amanah dengan lebih aktif, cekap dan responsif terhadap keperluan penduduk,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Choon Aik berkata, kerajaan negeri sedang mempertimbangkan penyertaan anggota MPKK di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) menerusi PERKESO Lindung Kendiri mulai Mei 2027.
"Cadangan itu bertujuan memastikan kesinambungan perlindungan sosial anggota MPKK selepas perlindungan insurans sedia ada berakhir pada April 2027, tertakluk kepada syarat kelayakan dan peraturan skim," ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan negeri merancang menganjurkan Anugerah Perdana MPKK Negeri Pulau Pinang pada 2027 berdasarkan penilaian prestasi sepanjang 2026.
“Kesemua 375 MPKK diseru mengambil bahagian secara aktif, memperkukuh pengurusan organisasi serta mempergiat program yang memberikan manfaat kepada penduduk.
“Semoga amalan terbaik yang diketengahkan dapat menjadi contoh dan inspirasi kepada komuniti lain,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, usaha memperkukuh keselamatan dan kesejahteraan komuniti turut melibatkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Skim Rondaan Sukarela serta penduduk setempat.
Menurutnya, kerajaan negeri juga akan menyelaras perbincangan dengan PDRM bagi meneliti keperluan keselamatan kawasan kediaman susulan pertambahan penduduk dan pembangunan setempat.
Dalam pada itu, beliau menambah, kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) turut meningkatkan peruntukan tahunan KRT daripada RM6,000 kepada RM10,000 mulai 2027.
Peningkatan itu katanya diharap dapat membantu KRT memperluas aktiviti keselamatan, kejiranan dan perpaduan yang memberi manfaat langsung kepada penduduk.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

