'Jangan mudah percaya untung hingga 300 peratus, mana logik'

Ramli melakukan gimik pelancaran Kapcai Ride Anti Scam JSJK di Pulapol Kuala Lumpur di sini, pada Khamis.
Ramli melakukan gimik pelancaran Kapcai Ride Anti Scam JSJK di Pulapol Kuala Lumpur di sini, pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 59,962 kes jenayah dalam talian membabitkan kerugian sebanyak RM1.93 bilion dilaporkan sejak 2021 sehingga September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kes jenayah dalam talian semakin meningkat sejak tiga tahun lalu.

“Pada 2021, sebanyak 20,701 kes direkodkan dengan kerugian RM560.8 juta. Walaupun jumlah kes menurun kepada 20,041 pada 2022, namun jumlah kerugian mencecah RM684.5 juta.

"Sebanyak 19,220 kes telah direkodkan membabitkan kerugian RM687.6 juta sejak Januari hingga September lalu, jumlah kes dan kerugian dijangka meningkat tahun ini," katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kapcai Ride Anti Scam JSJK di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini, pada Khamis.

Ramli berkata, kes penipuan dalam talian seperti penipuan e-dagang, penipuan pelaburan, penipuan pinjaman tidak wujud, penipuan telefon, kes penipuan e-mel dan sistem pesanan ringkas (SMS).

“Sebagai contoh penipuan pelaburan, jangan mudah percaya keuntungan sehingga 300 peratus yang ditawarkan oleh sindiket, dari mana datang logik akal.

"Mangsa penipuan pelaburan telah mencatatkan kerugian antara ribuan hingga jutaan ringgit,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Ramli berkata, program pencegahan jenayah komersial bermotosikal itu melibatkan 65 individu yang menyertai konvoi dari Pulapol Kuala Lumpur ke Cameron Highland, Pahang.

Artikel Berkaitan:

"Program itu melibatkan Pegawai Kanan Polis, Pegawai Rendah Polis dan Pegawai Awam dari JSJK Bukit Aman, Kontinjen Pahang dan Kontinjen Selangor.

"Kesemua peserta konvoi akan berhenti di beberapa lokasi bagi menyempurnakan program pencegahan jenayah komersial yang telah disediakan.

"Selain itu, kita turut mengedarkan risalah berkaitan pencegahan jenayah siber yang mengadungi modus operandi dan trend terkini bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan orang awam," katanya.

Ramli berkata, objektif program itu adalah membangkitkan semangat 'anti-scam' dikalangan masyarakat supaya tidak menjadi mangsa sindiket penipuan.

"Saya berharap program sebegini akan memberikan impak yang besar dalam usaha pihak JSJK untuk mencegah dan membanteras jenayah komersial di Malaysia," katanya.