Lebih 30 maut serangan tentera di kem perlindungan Myanmar

Sekurang-kurangnya 29 orang terbunuh dalam serangan tentera ke atas sebuah kem perlindungan bagi penduduk yang kehilangan tempat tinggal di utara Myanmar. - Foto AP
Sekurang-kurangnya 29 orang terbunuh dalam serangan tentera ke atas sebuah kem perlindungan bagi penduduk yang kehilangan tempat tinggal di utara Myanmar. - Foto AP
A
A
A

SEKURANG-kurangnya 29 orang terbunuh dan puluhan lagi cedera dalam serangan tentera ke atas sebuah kem perlindungan bagi penduduk yang kehilangan tempat tinggal di utara Myanmar.

Perkara itu disahkan oleh jurucakap kumpulan pemberontak etnik yang mengawal kawasan tersebut.

Junta Myanmar didakwa melakukan pelbagai serangan berdarah menyasarkan orang awam ketika pihaknya berusaha mengawal bantahan akibat rampasan kuasa 2021.

Kolonel Tentera Kemerdekaan Kachin (KIA), Naw Bu mengesahkan serangan terbaharu itu berlaku sekitar 11.30 malam (waktu tempatan) pada Selasa.

29 mayat termasuk kanak-kanak dan warga emas ditemui susulan serangan itu, manakala seramai 56 orang pula cedera.

Menurut Naw Bu, pihaknya sedang menyiasat jenis serangan yang dilakukan terhadap penghuni kem tersebut.

Katanya, pihak KIA tidak mendengar sebarang bunyi pesawat dan ia akan menyiasat sama ada pasukan tentera menggunakan dron untuk menyerang kem berhampiran bandar Laiza di sempadan China.

Beberapa gambar disiarkan media tempatan menunjukkan kesan selepas serangan tersebut dan pasukan penyelamat berusaha menarik keluar mayat dari bawah serpihan.

Artikel Berkaitan:

Tambah Naw Bu, sekurang-kurangnya 42 orang sedang dirawat di sebuah hospital berhampiran Laiza di negeri Kachin.

Sementara itu, jurucakap junta tentera, Zaw Min Tun berkata, pihaknya sedang menyiasat laporan serangan di kem tersebut. - Awani