Stigma, diskriminasi halang akses rawatan kesihatan mental

Dr Zaliha - Foto Bernama
Dr Zaliha - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Stigma dan diskriminasi antara cabaran utama menjadi penghalang kepada akses terhadap rawatan dan penjagaan kesihatan mental yang baik, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Dalam satu kenyataan pada Selasa sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia disambut setiap 10 Oktober, beliau berkata, persepsi negatif tersebut perlu dihentikan dan individu yang mempunyai masalah kesihatan mental perlu digalakkan untuk mendapatkan rawatan sama seperti penyakit fizikal lain.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mewujudkan Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental iaitu Talian HEAL 15555 bagi meningkatkan akses kepada masyarakat bagi perkhidmatan bantuan sokongan kesihatan mental dan tele-kaunseling.

Setelah hampir setahun beroperasi, sebanyak 26,139 panggilan telah diterima dengan 16,942 klien atau 65 peratus daripadanya telah menerima bantuan sokongan emosi manakala 9,197 klien atau 35 peratus menerima intervensi khusus oleh pegawai psikologi kaunseling, katanya.

Memetik data Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) yang mendapati satu dalam empat remaja mengalami gejala kemurungan pada 2022 berbanding satu dalam lima remaja pada 2019, Dr Zaliha berkata, ia menunjukkan trend peningkatan pemasalahan kesihatan mental terutama dalam golongan kanak-kanak dan remaja.

"KKM terus komited untuk memberi perkhidmatan kesihatan mental yang terbaik kepada segenap lapisan masyarakat," katanya serta menambah halatuju perkhidmatan kesihatan mental negara akan dipertingkatkan melalui pendekatan platform digitalisasi. - Bernama

Artikel Berkaitan: