X

Kindly register in order to view this article
!

Penoreh digalak hasilkan susu getah

Kok Yew (kiri) mengagihkan sumbangan kit persekolahan kepada 200 pelajar sekolah di Dewan Komuniti Taman Nuri semalam.
A
A

ALOR SETAR - Penoreh digalakkan menghasilkan lebih banyak susu getah (susu getah) berbanding getah sekerap (cuplump) apabila fasa pertama Kedah Rubber City (KRC) mula beroperasi Mac depan.

Exco Industri dan Pelaburan, Tan Kok Yew berkata, ini kerana apabila KRC beroperasi kelak, permintaan susu getah dalam negara dijangka meningkat bagi memenuhi pasaran industri getah dunia.

Menurutnya, pada masa sama, pendapatan penoreh juga akan meningkat susulan nilai susu getah adalah 30 peratus lebih tinggi berbanding sekerap.

“Untuk persediaan awal, kita sedang mengenal pasti pengusaha tanaman getah yang bersedia bekalkan susu getah bagi kegunaan pelbagai industri getah di KRC,” katanya selepas program sumbangan ‘Kembali ke Sekolah & sumbangan IPTA’ anjuran Pusat Khidmat Derga dan Pusat Khidmat Kota Darul Aman semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Darul Aman, Teh Swee Leong.

Kok Yew berkata, tender membangunkan KRC sudah dilakukan dan kerja-kerja pembinaan fasa pertama akan bermula pada awal tahun 2020.

“Fasa pertama seluas 30 ekar dijangka siap menjelang Mac, KRC memerlukan susu getah berkualiti tinggi untuk hasilkan produk teknologi tinggi seperti peralatan perubatan, sarung tangan, pembuatan tayar dan pelbagai lagi. Apabila permintaan susu getah meningkat, secara tidak langsung kita bantu tingkatkan taraf hidup dan pendapatan penoreh,” katanya.

Menurutnya, bagi memastikan KRC mendapat perhatian dunia, kerajaan negeri melalui Invest Kedah menandatangani memorandum perjanjian (MoU) bersama China (Sanya) Public Diplomacy Institute, di Global Rubber Conference ke-15 yang diadakan di Hainan, China pada 12-14 Disember lalu.

“Kolaboratif itu adalah bagi membangunkan industri getah negara, menerusi kajian dan usahasama dua pihak untuk berdepan saingan rantau Asia Tenggara susulan penggunaan getah semakin meningkat khususnya di China dalam pelbagai sektor berkaitan,” katanya.

Kok Yew berkata, selain mempromosikan pelancongan Kedah, pihaknya uarkan apa yang KRC boleh tawarkan terutama apabila Hainan dijadikan pulau perdagangan bebas dan berperanan sebagai pusat mengumpul data industri getah.

“Ketika itu kita mahu KRC menjadi pusat pengeluar getah berteknologi tinggi untuk penuhi pasaran dunia,” katanya.

Menurutnya, teknologi getah di China berada di tahap tinggi apabila negara itu memulakan projek perintis menoreh pokok getah dengan menggunakan mesin robotik.

“Negara kita masih mempunyai penoreh kalangan tenaga manusia, namun itulah gambaran masa depan dalam industri getah. Rakyat harus ceburi sektor kerjaya yang mempunyai prospek tinggi dalam bidang berkaitan IR 4.0 agar dapat penuhi permintaan industri akan datang,” katanya.

Terdahulu, Kok Yew mengagihkan bantuan IPTA sebanyak RM300 kepada 98 penerima dan sumbangan kit persekolahan kepada 200 pelajar sekolah, bagi membantu meringankan beban ibu bapa berdepan sesi persekolahan tahun depan.