Dua kluster ILI dilaporkan di Perak

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Jabatan Kesihatan Negeri Perak menerima dua laporan kluster penyakit seperti influenza (ILI) melibatkan anggota dan pelatih di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut.

Pengarahnya, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, pihaknya melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Manjung menerima laporan kluster itu masing-masing pada 10 Disember dan 14 Disember lepas.

“Kluster pertama telah dilaporkan pada 10 Disember lepas melibatkan 25 anggota TLDM dan siasatan yang dijalankan mendapati kes terakhir yang dikumpulkan TLDM bagi kumpulan ini adalah pada 9 Disember lalu dan sehingga hari ini tiada kes baharu dilaporkan.

“Kesemua mereka ini masih dalam tempoh pemantauan dan dijangka tamat pada Isnin depan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kluster kedua dilaporkan oleh pakar kecemasan daripada Hospital Angkatan Tentera Lumut (HATL) pada 14 Disember lepas.

"Seramai 67 pelatih lagi sudah diasingkan di fasiliti isolasi sedia ada dalam kawasan pangkalan berkenaan selepas mengalami gejala demam, batuk, selsema dan sakit tekak,” katanya.

Dr Ding berkata, sehingga Isnin lepas, pihaknya sudah melakukan ujian saringan terhadap 1,572 individu dan bilangan keseluruhan kes yang dikesan termasuk dirujuk di HATL adalah sebanyak 122 orang.

Beliau berkata, susulan daripada itu, PKD Manjung bersama-sama pasukan kesihatan HATL menjalankan aktiviti pengesanan aktif kes dengan mengambil sampel daripada beberapa individu mempunyai gejala sedemikian.

Artikel Berkaitan:

“Sejumlah sampel yang diambil daripada individu yang mempunyai gejala untuk kedua-dua kejadian kluster berkaitan dikesan positif bagi virus influenza A (H1N1),” katanya.- Bernama