Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei meninggal dunia

Allahyarham Ismail Salam
Allahyarham Ismail Salam
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Ismail Salam, 52, meninggal dunia pagi ini di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini menyatakan bahawa Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bandar Seri Begawan dan Kementerian Luar Negeri dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Kerajaan Negara Brunei Darussalam sedang dalam proses membawa pulang jenazah Allahyarham ke Malaysia.

"Dengan rasa dukacitanya Kementerian Luar ingin memaklumkan bahawa beliau telah kembali ke rahmatullah pada hari ini, pukul 8:33 pagi waktu tempatan,” kata kenyataan itu.

Ismail, memulakan perkhidmatan beliau sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1992 dan sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam pada Februari 2019, beliau pernah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya pada Mei 2012 sehingga Jun 2017.

No Image Caption

Allahyarham juga pernah bertugas di Perwakilan-Perwakilan Malaysia di luar negara, antaranya di Kedutaan Besar Malaysia di Vienna, Austria; Konsulat Malaysia di Pontianak, Indonesia; dan Kedutaan Besar Malaysia di Warsaw, Poland.

"Beliau adalah seorang pegawai yang berdedikasi dan komited dalam setiap penugasan sepanjang 27 tahun perkhidmatan beliau di Kementerian Luar. Segala jasa dan khidmat bakti yang ditaburkan oleh Allahyarham akan sentiasa dikenang sebagai satu teladan,” kata kenyataan itu.

Kementerian Luar mengucapkan takziah kepada isteri dan ahli keluarga Allahyarham.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, abang Allahyarham, Abu Yamin Salam berkata, adiknya disahkan meninggal dunia selepas pengsan di kediamannya kira-kira jam 6.30 pagi.

“Jenazah pada masa ini berada di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Bandar Seri Begawan,” katanya kepada Bernama.

Jenazah dijangka dibawa pulang ke Kuching, Sarawak untuk dikebumikan.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Rosita Ismail dan dua orang anak Nur Hidayah, 23, dan Haziq, 21 yang sedang menuntut di Hungary. - Bernama