Yuran PIBG tidak sepatutnya dipertikaikan

Dr Mohamad Rafie Ab Malek
Dr Mohamad Rafie Ab Malek
A
A
A

SEREMBAN - Yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tidak sepatutnya dipertikaikan kerana ia dipersetujui dalam mesyuarat persatuan itu di sekolah masing-masing, kata Exco Negeri Sembilan, Dr. Mohamad Rafie Ab Malek.

Beliau yang juga Adun berkata, jumlah bayaran yuran PIBG yang ditetapkan adalah persetujuan bersama di antara ibu bapa dan guru.

"Sebenarnya kutipan yuran PIBG ditentukan dalam mesyuarat persatuan itu di sekolah yang membabitkan ibu bapa dan guru. Cuma, malangnya kemungkinan dalam kebanyakan mesyuarat PIBG, ramai juga ibu bapa yang tidak hadir...itu yang menjadi masalah.

"Harapan saya ialah kalau boleh ibu bapa juga hadir dalam mesyuarat PIBG untuk bersama-sama memberi pandangan. Malah, dalam mesyuarat PIBG boleh untuk mengurangkan yuran PIBG sekali pun. Maka dengan itu segala masalah berkaitan tentang jumlah bayaran yuran dan sebagainya boleh dibincangkan secara bersama...itu adalah lebih baik," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra mengedarkan kalender 2019 kepada orang ramai di Pasar Tani Ampangan di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai rungutan sesetengah ibu bapa tentang yuran PIBG sekolah yang dikatakan membebankan mereka (ibu bapa).

Katanya, kebiasaannya yuran PIBG dikenakan untuk satu keluarga, satu yuran, tetapi ada juga PIBG mengenakan yuran tersebut mengikut bilangan anak yang bersekolah.

Bagaimanapun, katanya ini bergantung kepada persetujuan dalam mesyuarat PIBG berkenaan.

Mohamad Rafie berkata, yuran PIBG ini kebiasaannya digunakan bagi membiayai semua kegiatan yang bertujuan untuk meningkatkan prestasi pencapaian pelajar dalam pelajaran mereka seperti kelas tambahan, bengkel dan seminar akademik, hari sukan dan kegiatan kokurikulam.

Artikel Berkaitan:

"Kita mahu dalam pendidikan, bukan hanya setakat sekolah, tetapi ibu bapa juga bersama-sama mengambil tanggungjawab...sama-sama melihat bagaimana untuk membangunkan anak-anak.

"Jadi, mesyuarat PIBG bukan hanya untuk menentukan jumlah yuran PIBG, tetapi, untuk melihat bagaimana untuk membangunkan sahsiah diri anak-anak secara bersama di antara ibu bapa, penjaga dengan pihak sekolah," katanya.

Mengulas laporan sebuah akhbar harian baru-baru ini mengenai tindakan Kementerian Pendidikan membatalkan 406 tender membabitkan pelbagai perkhidmatan di sekolah seluruh negara termasuk beberapa Kolej Matrikulasi, beliau berkata ia bukan dibuat tanpa sebab.

Pembatalan tender itu membabitkan perkhidmatan membekal makanan bermasuk, perkhidmatan kebersihan bangunan dan kawasan serta pekhidmatan kawalan keselamatan.

"Saya melihat tindakan itu adalah penilaian semula untuk melihat bagaimana untuk kita memberi secara yang lebih terbaik. Saya melihat sebarang tindakan dibuat hanya berbentuk sementara iaitu dalam penilaian semula. Kemungkinan semuanya hendak dikaji semula untuk memastikan bahawa perkhidmatan yang diberi akan merangkumi kesemua secara lebih menyeluruh," katanya. - Bernama