Mansuhkan Akta Rahsia Rasmi

A
A
A

BEBERAPA minggu lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong telah dilaporkan berkata bahawa Akta Rahsia Rasmi atau OSA akan dimansuhkan dan diganti dengan Akta Kebebasan Maklumat.

Menurut menteri yang bertanggungjawab ke atas portfolio undang-undang tersebut, beberapa bahagian OSA akan dimasukkan dalam undang-undang baharu tersebut.

Pengumuman itu wajar disambut baik. Masyarakat madani sudah lama mengkritik OSA dan menggesa supaya ia dimansuhkan.

Mereka juga menggesa supaya satu undang-undang kebebasan maklumat digubal seperti enakmen-enakmen yang sudah pun ada di Selangor dan Pulau Pinang.

OSA menjenayahkan sesiapa yang mendapati atau memiliki apa yang ditakrifkan sebagai rahsia rasmi.

Menurut OSA, rahsia rasmi termasuklah dokumen-dokumen serta rekod keputusan dan perbincangan Kabinet dan Majlis Mesyuarat Negeri.

Dokumen berkenaan dengan keselamatan negara, pertahanan dan hubungan antarabangsa juga secara automatik dikelaskan sebagai rahsia rasmi di bawah OSA.

OSA juga memberi kuasa kepada menteri, menteri besar atau ketua menteri dan juga kepada mana-mana penjawat awam yang dilantik oleh menteri, menteri besar atau ketua menteri untuk mengelaskan apa-apa maklumat atau bahan sebagai ‘Rahsia’, ‘Terhad’ atau ‘Sulit’, yang kemudian akan menjadikan maklumat atau bahan tersebut sebagai rahsia rasmi di bawah OSA.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu, kuasa untuk mengelaskan maklumat atau bahan sebagai rahsia rasmi diberikan dengan luas. Ini juga bermaksud bahawa banyak dokumen yang telah dikelaskan sebagai rahsia rasmi.

Apa-apa jenis maklumat atau bahan boleh dijadikan rahsia rasmi, tidak kira sama ada ia ada keperluan untuk menjadikan ia sebagai rahsia. Maklumat tersebut tidak perlu berhubung dengan keselamatan awam atau pertahanan contohnya.

Ini juga bermakna OSA itu boleh digunakan untuk menutup atau menyorok kecuaian, salah tadbir, salah laku ataupun kesalahan dalam kerajaan tanpa perlu ada apa-apa justifikasi diberikan. Jika ada yang tidak kena, cara yang mudah untuk merahsiakannya adalah dengan menggunakan OSA.

Seseorang yang menerima apa-apa rahsia rasmi melakukan kesalahan sekiranya orang itu memiliki atau mengawal apa-apa rahsia rasmi jika orang itu tidak mempunyai hak untuk menyimpannya.

Di samping itu, ia juga suatu kesalahan sekiranya orang itu secara terus atau tidak, memberi maklumat di bawah OSA kepada orang lain, melainkan orang yang memberi maklumat itu telah diberikan kuasa atau merupakan tanggungjawabnya untuk menyampaikan maklumat itu.

Undang-undang seperti OSA tidak patut ada lagi dalam sebuah negara moden dan demokratik seperti Malaysia. Seluruh dunia kini menuju kepada mewujudkan kerajaan-kerajaan yang terbuka dan telus.

Ini tidak bermakna bahawa tidak patut ada lagi ‘rahsia kerajaan’. Maklumat berkenaan dengan pertahanan, keselamatan negara dan hubungan luar negara masih boleh dilindungi. Dari aspek itu, sekiranya terdapat bahagian OSA yang dikekalkan dalam akta baharu berkenaan dengan perkara-perkara terbabit, ia boleh dijustifikasi.

Tetapi ‘rahsia’ mesti ditakrifkan dengan tepat supaya ia hanya boleh melindungi perkara-perkara ini dan bukannya perkara-perkara yang tiada kaitan. Harus ada mekanisme untuk memastikan mana-mana maklumat yang dikategorikan sebagai ‘rahsia’ adalah benar-benar perlu dilindungi, bukannya disembunyi atas alasan lain.

Sekiranya kerajaan dapat melaksanakan dengan baik komitmen terhadap kebebasan maklumat itu, ia akan memastikan keterbukaan dan pentabdiran baik diamalkan di negara ini.

Apa-apa jenis maklumat atau bahan boleh dijadikan rahsia rasmi, tidak kira sama ada ia ada keperluan untuk menjadikan ia sebagai rahsia."

* Syahredzan Johan ialah peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur