SMA Nahdhah Hasanah 'dekat' di hati perdana menteri

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan ke SMA Nahdhah Hasanah Melele Sabtu ini - Foto: SMA Nahdhah Hasanah Melele
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan ke SMA Nahdhah Hasanah Melele Sabtu ini - Foto: SMA Nahdhah Hasanah Melele
A
A
A

JITRA - Sekolah Menengah Agama (SMA) Nahdhah Hasanah Melele di Jalan Kodiang dekat sini yang telah beroperasi sejak 75 tahun lalu dilihat begitu ‘dekat’ di hati Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan mengadakan lawatan ke sekolah itu pada Sabtu ini (17 Jun).

Pengetua SMA Nahdhah Hasanah, Syeikh Dr Mohd Jamil Sadaqi Tajuddin berkata, lawatan Perdana Menteri itu juga signifikan memandangkan Anwar pernah mengunjungi sekolah agama berkenaan pada 1987 ketika bergelar Menteri Pendidikan.

"Semasa beliau (Perdana Menteri) datang ke sekolah ini pada 1987, beliau ada menanam sebatang pokok dalam kawasan halaman sekolah dan sehingga kini pokok itu masih ada sebagai ‘tanda’ kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim ke sekolah ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Syeikh Mohd Jamil berkata, jasa pemimpin itu kepada warga sekolah berkenaan masih lagi ‘kukuh’ apabila Anwar dalam lawatan itu turut memberi peruntukan untuk pembinaan lima kelas bagi kemudahan pembelajaran.

"Semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat sekolah ini, beliau sempat ambil tahu masalah sekolah. Setelah lawatan ini, beliau berikan bantuan untuk bangunkan kelas tetapi kelas itu, kami sudah jadikan dewan makan pelajar," katanya.

Mengulas lanjut kehadiran Anwar pada Sabtu ini, pengetua itu berkata, ia merupakan hasrat Perdana Menteri sejak beliau mula mengambil alih pentadbiran negara ini pada penghujung November tahun lepas, untuk bertemu agamawan di Kedah.

"Datuk Seri Anwar Ibrahim ini sangat menyantuni golongan agamawan dan saya sendiri mengetuai majlis zikir di Seri Perdana sebulan sekali atas jemputan beliau, dan di situ beliau sendiri menyampaikan hasrat untuk bertemu ulama di Melele (sekolah itu)," katanya.

Syeikh Mohd Jamil berkata hasrat Perdana Menteri akan menjadi kenyataan pada Sabtu ini apabila majlis pada hari itu turut menghimpunkan golongan agamawan di Kedah termasuk mudir sekolah agama, guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA), imam dan pegawai masjid.

Beliau berkata, kehadiran Perdana Menteri menjadi lebih 'manis' kerana pada hari itu turut diadakan sambutan jubli intan sempena 75 tahun penubuhan sekolah Nahdhah Hasanah.

Mengulas mengenai sejarah sekolah agama itu, Syeikh Mohd Jamil berkata, ia mula beroperasi pada awal 1948 dengan sembilan pelajar dan dikendalikan mudir pertama sekolah iaitu Datuk Syeikh Tajuddin Abdul Rahman.

"Idea penubuhan sekolah menengah agama ini tercetus pada tahun 1946 oleh penduduk kampung yang memberikan cadangan kepada ketua kampung dan imam supaya mewujudkan sekolah agama di kawasan itu untuk pendidikan agama setempat.

Syeikh Mohd Jamil berkata bapanya, Syeikh Tajuddin dilantik sebagai guru di sekolah itu sebaik menamatkan pengajian di Makkah pada penghujung 1946 dan seterusnya menerajui sekolah berkenaan yang dahulunya disebut Madrasah sebelum bertukar status kepada SMA pada 70-an.

"Sekarang sekolah menengah agama ini terdapat hampir 400 pelajar tingkatan satu hingga enam, dengan 34 orang guru. Sekolah ini turut mempunyai pelajar luar negara seperti dari Filipina, Kemboja, Thailand, Indonesia dan Vietnam," katanya.

Syeikh Tajuddin pernah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan dari 1996 hingga 1999, meninggal dunia pada 2000.

Beliau berkata Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor merupakan bekas pelajar sekolah agama itu pada era 50-an. - Bernama