MAIPk minta pengadu kemuka bukti tuduh amil terima komisen tinggi

Hantaran seorang individu di laman Facebook Warga Parit Buntar Prihatin yang mendapat perhatian MAIPk kerana terdapat tuduhan tidak berasas ke atas badan tersebut.
Hantaran seorang individu di laman Facebook Warga Parit Buntar Prihatin yang mendapat perhatian MAIPk kerana terdapat tuduhan tidak berasas ke atas badan tersebut.
A
A
A

IPOH - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) memandang serius tuduhan yang dilemparkan oleh seorang lelaki menerusi Facebook mendakwa kakitangan badan itu menerima bayaran tinggi termasuk komisen sebagai amil.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahrul Azam Shaari berkata, semua tuduhan yang dilemparkan perlu dibuat secara rasmi disertakan dengan bukti kepada MAIPk atau mana-mana pihak berkuasa agar tindakan sewajarnya boleh dilakukan.

Beliau berkata, kakitangan MAIPk yang bertugas mengendalikan zakat dibayar gaji berdasarkan skim kakitangan awam yang lain mengikut gred masing-masing.

"Perlu dijelaskan di sini bahawa tiada komisen tambahan diterima kakitangan MAIPk walaupun mengutip zakat dengan amaun yang tinggi.

"Tuduhan yang dilemparkan adalah tidak berasas dan palsu yang boleh memburukkan serta menjatuhkan imej bagi sesebuah institusi agama Islam," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab tuduhan seorang lelaki di laman Facebook Warga Parit Buntar Prihatin yang mengemukakan beberapa isu berkaitan MAIPk termasuklah menerima bayaran ceramah dan komisen sebagai amil zakat.

Sementara itu, berkaitan isu rumah kedai di pekan lama Parit Buntar yang dibangkitkan, Shahrul Azam berkata, bangunan tersebut dibina atas tanah wakaf khas saraan kepada Majlis Daerah Kerian di sini yang merupakan penerima manfaat hasil sewaan tersebut untuk kegunaan masjid.

Katanya, pihak jawatankuasa kariah Masjid Daerah Kerian bertanggungjawab menguruskan bangunan tersebut dengan memberikan kebenaran menyewa berdasarkan syarat-syarat yang dipersetujui oleh penyewa.

Artikel Berkaitan:

"Pihak MAIPk sentiasa menggalakkan penyewa Muslim tempatan menyewa mana-mana premis yang mana tapak dibangunkan bagi tujuan perniagaan.

"Dalam masa sama, pihak MAIPk tidak menghalang mana-mana individu atau syarikat yang mempunyai kemampuan kewangan untuk menyewa atau mengusahakan tanah wakaf," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebarang kemusykilan mahupun persoalan boleh terus dikemukakan kepada MAIPk untuk mendapatkan penjelasan melalui mana-mana pejabat MAIPk atau melayari laman web www.maiamp.gov.my atau hubungi Unit Perhubungan Korporat di talian 05-20840000.