Industri teksi perlu terima pakai teknologi terkini: Anthony Loke

Anthony Loke Siew Fook. -Foto Bernama
Anthony Loke Siew Fook. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Industri teksi perlu berubah dan menerima pakai teknologi terkini bagi membolehkan mereka bersaing dengan penyedia e-hailing.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, daripada 43,000 pemandu teksi di Malaysia, hanya 10,000 yang mengamalkan aplikasi e-hailing manakala yang lain masih menggunakan cara konvensional.

"Pemandu teksi yang menggunakan aplikasi e-hailing, boleh mengambil penumpang menggunakan dua platform, e-hailing serta perhentian teksi.

“Penumpang hari ini mempunyai pilihan, mereka (pemandu teksi) perlu berubah dan mereka harus memastikan menawarkan perkhidmatan dengan cara yang lebih baik, secara digital dan dapat bersaing dengan e-hailing,” katanya kepada media selepas pelancaran #JOMTEKSI di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn Bhd Ignatius Ong.

#JOMTEKSI ialah sebuah inisiatif di bawah TNG Digital yang menyediakan ekosistem untuk pemandu teksi berkembang maju dalam ekonomi digital.

Dalam ucapannya, Anthony berkata, industri pengangkutan teksi merupakan antara mod pengangkutan awam darat yang cukup terkesan dengan kepesatan komunikasi digital di negara ini.

Beliau berkata, kepesatan teknologi komunikasi maklumat telah menuntut setiap industri di Malaysia, termasuk sektor pengangkutan awam untuk melakukan transformasi dalam perkhidmatan mereka, seiring dengan era digital pada masa ini.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: 59,689 pemandu teksi, e-hailing daftar Perkeso sejak Oktober

Lebih 6,000 pemandu teksi memilih untuk menggunakan Touch ‘n Go eWallet sebagai kaedah pembayaran tanpa tunai dan menerusi #JOMTEKSI, setiap pemandu teksi berkenaan memperoleh insentif tambahan RM4 bagi setiap penumpang yang pertama kali membuat bayaran menggunakan aplikasi Touch ‘n Go eWallet.

Melalui inisiatif #JOMTEKSI itu, lima perhentian teksi di Putrajaya dan Cyberjaya diubah suai iaitu perhentian teksi itu turut dilengkapi dengan port USB untuk memudahkan penumpang mengecas peranti mudah alih mereka.

Beliau berkata, pelaksanaan kod QR untuk perkhidmatan teksi menggunakan Touch ‘n Go eWallet adalah sejajar dengan inisiatif kerajaan melalui Belanjawan 2020 ke arah komuniti tanpa tunai dan menyediakan pilihan lebih inovatif dan mudah untuk pengguna.

“Penumpang teksi tidak perlu risau lagi untuk menyediakan wang tunai dan baki ketika membuat pembayaran. Pada masa yang sama, pengusaha teksi dapat mengembangkan lagi urus niaga mereka bagi memenuhi permintaan industri,” katanya. - Bernama