DAP perlu lebih ramai pemimpin seperti Hannah, Anthony Loke

Kian Ming di Program Podcast Keluar Sekejap episod 15 pada Selasa. Gambar kecil dari kiri: Hannah, Anthony Loke
Kian Ming di Program Podcast Keluar Sekejap episod 15 pada Selasa. Gambar kecil dari kiri: Hannah, Anthony Loke
A
A
A

SHAH ALAM - Lebih ramai pemimpin DAP perlu menunjukkan karakter sebagai individu yang boleh membantu semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama dapat memberi gambaran imej positif parti itu kepada orang Melayu.

Bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming berkata, perkara sedemikian dapat menukar persepsi orang Melayu terhadap DAP yang sering didakwa sebagai anti Melayu, anti Islam dan sebagainya.

"Saya berpandangan apabila ada lebih ramai pemimpin DAP seperti Hannah Yeoh dan Anthony Loke Siew Fook yang ada imej sedemikian maka boleh 'cool down' sedikit persepsi orang Melayu terhadap DAP.

"Tetapi tak boleh dinafikan memang ada sejarah yang panjang di mana pemimpin seperti Lim Kit Siang yang dijenamakan sebagai seorang anti Melayu, anti Islam, anti raja dan sebagainya.

"Jadi saya rasa bagi golongan lebih tua, mereka sukar dan susah nak lepaskan serta melupakan imej seperti itu," katanya menerusi Program Podcast Keluar Sekejap episod 15 pada Selasa.

Turut hadir ke program tersebut ialah bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan.