Puteri Gunung Ledang kembali menghidupkan pentas seni Malaysia

Pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical dipilih sebagai produksi pembukaan JCPAC, sekali gus mengangkat karya ikonik tempatan yang mengetengahkan warisan budaya Malaysia ke pentas bertaraf dunia.
Pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical dipilih sebagai produksi pembukaan JCPAC, sekali gus mengangkat karya ikonik tempatan yang mengetengahkan warisan budaya Malaysia ke pentas bertaraf dunia.
A
A
A

SUBANG JAYA - Ada karya yang tidak pernah luput ditelan zaman. Walaupun masa berlalu dan generasi silih berganti, kisahnya terus hidup dalam ingatan masyarakat.

Begitulah legenda Puteri Gunung Ledang, sebuah lagenda agung Melayu yang sarat dengan kisah cinta, pengorbanan dan kesetiaan sehingga terus terpahat dalam landskap seni negara.

Dua dekad selepas pementasan kali pertamanya, muzikal ikonik itu kembali menemui penonton dengan sambutan luar biasa, apabila lebih 18,000 tiket habis terjual dalam tempoh beberapa jam sahaja menerusi saluran jualan awal dan jualan umum, manakala lebih 22,000 peminat dilaporkan berada dalam senarai menunggu dalam talian untuk mendapatkan tiket.

Sambutan luar biasa itu membuktikan karya tempatan masih mempunyai tempat yang istimewa di hati rakyat Malaysia.

Lebih bermakna, kemunculan semula muzikal tersebut berlangsung di Pusat SeniPersembahan Je rey Cheah atau Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC) di Sunway Square, Sunway City Kuala Lumpur, sebuah pusat seni bernilai RM200 juta yang diwujudkan bagi memperkukuh pembangunan seni persembahan negara.

Di sebalik pembinaan pusat seni itu ialah visi Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Sir Dr Jeffrey Cheah, yang percaya bahawa kemajuan sesebuah negara tidak boleh diukur melalui pencapaian ekonomi semata-mata.

Sebaliknya, pembangunan budaya, pendidikan dan kreativiti perlu bergerak seiring bagi melahirkan masyarakat yang lebih seimbang serta menghargai identiti negara.

Jeffrey
Jeffrey

Artikel Berkaitan:

“Malaysia memiliki bakat seni yang luar biasa serta khazanah budaya yang kaya. Apa yang diperlukan ialah peluang, kemudahan dan sokongan berterusan agar bakat tempatan mampu berkembang serta berdiri sebaris dengan produksi bertaraf dunia,” katanya.

Pentas untuk semua bakat

Malaysia Berteraskan semangat keterangkuman, JCPAC dibangunkan sebagai ruang yang meraikan kepelbagaian budaya Malaysia.

Daripada teater Melayu, opera Cina dan tarian klasik India hinggalah kepada produksi kontemporari tempatan, semuanya mempunyai tempat untuk berkembang dan diwariskan kepada generasi akan datang.

Pusat seni itu dilengkapi Grand Theatre berkapasiti 1,200 tempat duduk dengan teknologi akustik moden, selain The Studio yang mampu memuatkan 150 penonton bagi pementasan berskala kecil serta pembangunan bakat baharu.

Kedua-dua ruang ini menyediakan platform kepada penggiat seni berpengalaman dan generasi muda untuk terus menyerlahkan bakat dan karya dalam suasana bertaraf antarabangsa.

Warisan menyatukan generasi

Pemilihan teater, Puteri Gunung Ledang The Musical sebagai produksi pembukaan JCPAC bukanlah suatu kebetulan.

Sejak pertama kali dipentaskan pada 2006 oleh Enfiniti Productions yang diasaskan Puan Sri Tiara Jacquelina, muzikal tersebut berjaya mengangkat salah satu legenda Melayu paling agung menjadi sebuah karya pentas bertaraf antarabangsa tanpa mengkompromikan nilai budaya tempatan.

Kembalinya muzikal itu pada tahun ini menghimpunkan barisan pelakon berpengalaman dan bakat baharu seperti Aisha Retno, Mila Mohsin, Aqasha, Mimi Fly dan Nadia Aqilah.

Produksi ini bukan sahaja menghidupkan semula nostalgia penonton yang pernah menyaksikan pementasan asal, malah memperkenalkan karya tersebut kepada generasi muda dalam pendekatan yang lebih segar.

Menurut Tiara, teater Puteri Gunung Ledang bukan sekadar sebuah muzikal.

Baginya, karya itu merupakan lambang sejarah, warisan, imaginasi dan kemampuan rakyat Malaysia menghasilkan cerita yang mampu menyentuh hati masyarakat merentasi generasi.

“Sambutan luar biasa yang diterima membuktikan karya tempatan terus mendapat tempat dalam jiwa rakyat,” kata Tiara.

Beliau turut menyifatkan kerjasama antara Enfiniti Productions dan JCPAC sebagai contoh terbaik bagaimana institusi yang mempunyai visi yang sama mampu memperkukuh industri kreatif negara.

Sokongan terhadap bakat tempatan bukan sekadar melahirkan produksi berkualiti, malah membuka lebih banyak ruang kepada generasi baharu untuk berkarya di pentas bertaraf dunia.

Lebih daripada sebuah pusat seni

Keistimewaan JCPAC bukan hanya terletak pada kemudahan bertaraf antarabangsa, tetapi juga pada peranannya sebagai ruang yang mendekatkan seni dengan kehidupan masyarakat.

Terletak bersebelahan Universiti Sunway dan Pusat Perubatan Sunway di tengah- tengah Sunway City Kuala Lumpur, pusat seni itu diwujudkan sebagai tempat masyarakat daripada pelbagai lapisan usia menikmati pengalaman seni persembahan.

Kanak-kanak dapat mengenali keajaiban suasana teater secara langsung, pelajar berpeluang meneroka bakat kreatif, manakala keluarga dapat bersama-sama menghargai karya yang mencerminkan identiti dan warisan negara.

Program pembukaannya turut mencerminkan kepelbagaian budaya Malaysia dengan menampilkan produksi seperti Puteri Gunung Ledang, The Butterfly Lovers dan Charlie and the Chocolate Factory.

Kepelbagaian ini membuktikan bahawa seni mampu menjadi jambatan yang merapatkan masyarakat tanpa mengira latar belakang budaya.

Bagi Jeffrey Cheah, pelaburan dalam seni persembahan merupakan pelaburan terhadap imaginasi, identiti dan masa depan negara.

Beliau percaya sesebuah negara bukan sahaja dinilai melalui bangunan yang didirikan atau kejayaan ekonominya, malah melalui keupayaannya memupuk kreativiti, memelihara warisan dan memberi ruang kepada rakyat menghasilkan karya yang membanggakan.

Kejayaan luar biasa Puteri Gunung Ledang menjadi petanda bahawa rakyat Malaysia menghargai karya tempatan yang berkualiti.

Dengan adanya pentas seperti JCPAC, lebih banyak cerita, bakat dan karya tempatan berpotensi diketengahkan ke pentas dunia.

Lebih daripada sebuah bangunan yang membawa nama Jeffrey Cheah, JCPAC menjadi simbol keyakinan bahawa seni mampu menyatukan masyarakat, melihara warisan dan mengangkat identiti Malaysia untuk terus dikenali di persada antarabangsa.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!