Kes fitnah Ahli Parlimen Wangsa Maju selesai

Zaid (dua dari kiri) bersalaman dengan Yee Kew di luar Mahkamah Tinggi Awam di sini hari ini.
Zaid (dua dari kiri) bersalaman dengan Yee Kew di luar Mahkamah Tinggi Awam di sini hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes saman fitnah Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Dr Tan Yee Kew terhadap Mohd Zaid Zulkifli selesai selepas plaintif menerima permohonan maaf dan pampasan bernilai RM5,000 daripada ahli UMNO itu di Mahkamah Tinggi Awam di sini hari ini.

Zaid memohon maaf berhubung kenyataannya dalam laman sosial terhadap Yee Kew dengan mengaitkan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dengan seorang tertuduh dalam kes menghina Nabi Muhammad pada 3 dan 4 Mac lalu.

Melalui permohonan maaf di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache atas tiga kenyataan fitnah dilakukannya di Facebook, Mohd Zaid turut mengakui kenyataannya dibuat secara semberono.

“Saya berasa amat kesal dan mengakui saya tidak membuat penyiasatan lanjut berkenaan gambar yang ditularkan,” katanya.

Yee Kew kemudian menerima permohonan maaf dan pampasan RM5,000 tersebut walaupun tuntutan asal bernilai sebanyak RM1 juta.

Dalam pada itu, hakim turut memuji kedua-dua pihak kerana saling bermaafan dan berharap masyarakat menjadikannya sebagai budaya dalam melahirkan masyarakat yang harmoni.

Pada 3 dan 4 Mac lalu, Mohd Zaid didakwa membuat penerbitan di laman sosial yang mengaitkan Yee Kew dengan kenyataan yang dibuat oleh Alvin Chow membabitkan penghinaan terhadap Nabi Muhammad.

Sementara itu, Yee Kew ketika ditemui media berkata, beliau memandang serius tuduhan terbabit kerana ia bukan sahaja memburukkan imej malah menjejaskan kredibilitinya selaku Ahli Parlimen.

Artikel Berkaitan:

“Atas rayuan beliau, saya bersetuju untuk mengurangkan ganti rugi daripada RM1 juta kepada RM5,000 sahaja sebagai pengajaran agar beliau dan masyarakat tidak mengulangi kesalahan itu.

“Ketika ini, kita lihat banyak fitnah dikeluarkan di laman sosial sedangkan ia membahayakan keharmonian negara,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.