X

Kindly register in order to view this article
!

Dunia Islam digesa pertingkat, pupuk budaya inovasi

Dr Azmi Omar. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Negara-negara Islam perlu perkukuhkan lagi sistem pendidikan masing-masing terutama dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dalam usaha memupuk semangat inovasi dan menyesuaikan diri dengan dunia yang pesat berubah.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (Inceif), Profesor Datuk Dr Azmi Omar berkata, mereka memiliki potensi besar untuk menawarkan sumbangan positif kepada komuniti global.

Beliau mengambil perhatian bahawa inovasi daripada dunia Islam amat kurang walaupun mempunyai begitu banyak sumber asli dan sumber manusia.

“Kita perlu kembali kepada pendidikan di mana negara-negara Islam perlu memberi tumpuan pada inovasi, yang bermakna perkukuhkan lagi STEM dan bidang berkaitan...untuk mendorong mereka menjadi inovatif.

"Kita memiliki sumber-sumber tetapi kita tidak mampu menjadi inovatif. Sudah tiba masanya untuk bergerak ke arah budaya inovasi," katanya menjelang Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 dijadual berlangsung mulai 18 sehingga 21 Disember.

Prof Azmi mengesyorkan agar negara-negara Islam mengenal pasti dan memanfaatkan kekuatan masing-masing dan meningkatkan kerjasama dalam kalangan mereka.

Sidang kemuncak itu akan mengupas dan mencari penyelesaian baharu dan boleh digunakan untuk menangani pelbagai masalah yang melanda dunia Islam, dan menyumbang ke arah menambah baik keadaan di negara Islam dan umat Islam.

Sidang kemuncak itu yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga akan menumpukan untuk membina semula peradaban Islam. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!