MB Perlis minta rakyat main peranan tangani penyeludupan ketum

Azlan Man
Azlan Man
A
A
A

KANGAR - Kerajaan Perlis meminta kerjasama baik rakyat supaya memainkan peranan bagi menangani aktiviti penyeludupan ketum di negeri itu.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata, dalam operasi yang dijalankan, setiap hari terdapat tangkapan berkaitan penyeludupan ketum.

Katanya, bukan itu sahaja, setiap tahun jumlah tangkapan kes penyeludupan ketum menunjukkan peningkatan.

"Hasil daripada operasi yang dilakukan oleh pihak berkuasa, sebanyak 92 kes dicatatkan pada tahun 2017 dengan nilai rampasan sebanyak RM544,104.36.

"Jumlah tersebut meningkat kepada RM1.12 juta pada tahun 2018 dan pada tahun ini sehingga Oktober 2019, sebanyak 86 kes dicatatkan dengan nilai rampasan melebihi RM700,000," katanya.

Azlan berkata demikian bagi menjawab soalan Nor Azam Karap (PKR-Kuala Perlis) mengenai kes penyeludupan ketum di Perlis ketika sesi soalan lisan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua lelaki ditahan bersama 556kg ketum

Tambah Azlan, bagi mengawal penanaman ketum di Perlis, pihak polis menubuhkan satu sekretariat bagi menjalankan operasi di kawasan hotspot.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga turut menyediakan talian khas yang boleh dihubungi orang awam untuk tujuan menyalurkan maklumat," katanya.