Rampasan ketum di Kedah meningkat

Mukhriz (dua dari kanan) dan Zulkifli (dua dari kiri) pada sidang akhbar selepas Majlis Tindakan Membanteras Dadah 2019 di Wisma Darul Aman hari ini.
Mukhriz (dua dari kanan) dan Zulkifli (dua dari kiri) pada sidang akhbar selepas Majlis Tindakan Membanteras Dadah 2019 di Wisma Darul Aman hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Jumlah rampasan daun ketum di Kedah meningkat bagi tahun 2019 iaitu sebanyak 46.8 peratus berbanding tahun lalu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, sebanyak 128,525.41 kilogram (kg) daun ketum dengan nilai semasa RM3,712,860.97 dirampas bermula Januari sehingga Oktober 2019.

Menurutnya, jumlah tersebut meningkat berbanding jumlah rampasan 87,563.90kg dengan nilai semasa RM5,253,890.34 bagi tempoh yang sama bagi tahun 2018.

"Penggunaan ketum tidak lagi dikenali sebagai tumbuhan herba yang digunakan untuk perubatan sebaliknya lebih sinonim dikaitkan dengan isu ketagihan dan penyalahgunaan.

"Statistik menunjukkan rampasan daun ketum meningkat bagi tahun 2019 iaitu sebanyak 46.8 peratus," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Majlis Tindakan Membanteras Dadah 2019 di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Mukhriz berkata, rampasan bagi air ketum pula menyaksikan penurunan kepada 56,992.44 liter dengan nilai semasa RM842,742.67 bagi tahun 2019 berbanding 223,525.90 liter dengan nilai semasa RM5,318,925.46 bagi tahun 2018.

Katanya, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dengan kerjasama Jabatan Farmasi, Pejabat Daerah, Pejabat Tanah dan Galian, Pejabat Pertanian telah mengadakan pertemuan bersama 52 pengusaha ketum daripada Kedah dan Perlis bagi mencari solusi terbaik tentang masalah ketum itu.

"AADK telah mencadangkan pembangunan tanaman alternatif melalui pembangunan kapasiti yang berbentuk latihan dan kursus kepada pengusaha tanaman.

Artikel Berkaitan:

"Tanaman gantian ini dapat dilaksanakan dengan jayanya sekira pengusaha ladang dapat meningkatkan ilmu berkaitan pertanian yang bersesuaian dengan teknologi terkini dengan cadangan alternatif yang berdaya saing.

"Pelan tanaman gantian ini dapat dilaksanakan dengan beberapa insentif berkaitan seperti subsidi benih, bantuan geran pinjaman, penyediaan platform pemasaran dan insentif bantuan sara hidup," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, Kedah akan dijadikan sebagai model kepada negeri-negeri lain dalam usaha mengantikan penanaman ketum kepada tanaman alternatif lain.

Menurutnya, Kedah dilihat berada di hadapan dalam isu tersebut dan mekanisme sama bakal dilaksanakan di negeri-negeri yang mempunyai masalah yang sama seperti Perlis dan Perak.