Peluang buka akaun TH percuma

Muslimin membunyikan hon sebagai simbolik pada Pertandingan Memancing sempena Program Mesra Karnival Rakyat 2.0 di Dataran Desa Permai, Parit 8 di sini hari ini.
Muslimin membunyikan hon sebagai simbolik pada Pertandingan Memancing sempena Program Mesra Karnival Rakyat 2.0 di Dataran Desa Permai, Parit 8 di sini hari ini.
A
A
A

SUNGAI PANJANG - Penduduk berpeluang membuka akaun Tabung Haji (TH) percuma sempena Program Mesra Karnival Rakyat 2.0 di Dataran Desa Permai, Parit 8 di sini hari ini.

Ahli Parlimen Sungai Besar, Muslimin Yahaya berkata, usaha itu dilakukan sebagai galakan kepada penduduk untuk menyimpan wang simpanan di dalam TH.

"Kita berharap ini sebagai motivasi kepada penduduk selain TH dapat membantu memudahkan penduduk membuat simpanan," katanya.

Mengulas mengenai karnival itu, Muslimin berkata, beberapa penambahan aktiviti dilakukan pada karnival itu berbanding tahun lalu.

"Karnival ini sentiasa ditunggu rakyat kerana pada tahun lalu kita berjaya menarik kehadiran hampir 4,000 pengunjung dan kali ini mungkin dalam jumlah sama.

"Dengan bantuan dan idea daripada rakan parti komponen dan jabatan kerajaan, kita pelbagaikan lagi kehendak dan keperluan apa yang rakyat inginkan," katanya.

Beliau berkata, karnival itu turut memberi penghargaan kepada mereka yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

"Kita meraikan mereka yang mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) dan PSRA (Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama) serta mereka yang cemerlang dalam sekolah aliran Cina," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beberapa program turut membabitkan minat anak muda seperti e-sport, beyblade dan tarik tali.

"Kita berharap karnival ini dipertingkatkan pada masa akan datang dan memperbanyak lagi program ke arah anak muda dan tradisional," katanya.