Wang simpanan hampir RM10,000 lebur

Mohd Wazir
Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - Seorang lelaki dari Jerantut Feri, Jerantut berputih mata selepas wang simpanan hampir RM10,000 dalam dua akaun banknya menjadi habuan sindiket penipuan ' scammer' semalam.

Malang menimpa mangsa berusia 26 tahun itu berlaku selepas dia diperdaya sindiket penipuan kononnya mempunyai tunggakan kad kredit RM10,000 yang perlu diselesaikan segera selain dikehendaki atas kes mengedar dadah berkait kes tangkapan seorang wanita di Thailand sebelum ini.

Penipuan ke atas mangsa didalangi tiga individu yang menyamar sebagai pegawai mahkamah Johor, Pegawai Perundangan Sivil dan pegawai polis berpangkat Inspektor kononnya dari Bahagian Siasatan Jenayah Kontinjen Johor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai pegawai mahkamah Johor tengah hari semalam.

Menurutnya, mangsa dimaklumkan berhubung satu pinjaman dibuat atas namanya dengan sebuah syarikat kredit di negeri berkenaan.

Mangsa kemudiannya dirujuk kepada seorang individu lain sebagai pegawai perundangan sivil untuk tujuan semakan lanjut berhubung pinjaman tersebut.

"Mangsa dijerat kononnya hasil semakan mendapati dia ada membuat pinjaman kad kredit dan mempunyai tunggakan bayaran berjumlah RM10,000 yang perlu dijelaskan dalam tempoh dua jam atau berdepan tindakan undang-undang.

"Mangsa menjelaskan dia tidak mampu untuk membuat bayaran itu dan seperti modus operandi sindiket sebelum ini, panggilan disambung pula kepada pegawai polis bagi tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Wazir berkata, mangsa sekali lagi ditakutkan apabila dikaitkan dengan satu kes pengedaran dadah bersama seorang individu yang ditahan di Thailand sebelum ini.

"Pegawai polis berkenaan meminta mangsa menyerahkan nombor dua kad banknya (empat digit terakhir) bagi tujuan siasatan.

"Selepas menyerahkan maklumat dikehendaki, mangsa menerima pesanan Kod Kebenaran Transaksi (TAC) dan menyerahkan nombor TAC itu kepada pegawai polis berkenaan seperti diarahkan," katanya.

Beliau berkata, mangsa menyedari telah menjadi mangsa penipuan selepas menerima notis pesanan daripada pihak bank berhubung transaksi dari dua akaun banknya berjumlah RM4,250 dan RM5,000.

"Mangsa kemudian menghubungi pihak dua bank berkenaan bagi menyekat akaunnya untuk sebarang transaksi bagaimànapun RM9,250 yang dipindahkan sindiket sebelum itu sudah menjadi habuan mereka.

"Susulan itu, mangsa membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.