X

Kindly register in order to view this article
!

Mangsa banjir di Kelantan menurun, Terengganu meningkat

A
A

KUALA LUMPUR - Keadaan banjir di Kelantan semakin reda dengan jumlah mangsa menunjukkan penurunan namun di Terengganu jumlah mangsa meningkat sedikit.

Di Kelantan, jumlah mangsa terus menurun kepada 11,436 orang melibatkan 4,442 buah keluarga sehingga jam 8 pagi ini berbanding 12,269 mangsa (4,684 keluarga) petang semalam.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan (JKM) menunjukkan empat jajahan yang masih terkesan banjir dan mangsa ditempatkan di 30 pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu Pasir Mas 8,117 (3,288 keluarga), Tumpat (3,183 mangsa; 1,120 keluarga), Pasir Puteh (80 mangsa; 15 keluarga) dan Kuala Krai (56 mangsa; 19 keluarga).

Sementara itu, laman sesawang ebanjirkelantan menunjukkan paras Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas ialah 10.06 meter manakala Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat pada 3.10 meter, masih melepasi paras bahaya.

Bagaimanapun, cuaca di Kelantan baik pagi ini, tiada jalan utama ditutup manakala jumlah mangsa yang terkorban meningkat kepada tiga orang selepas seorang bapa tunggal, Zulkapli Yaakub, 51, meninggal dunia selepas terkena renjatan elektrik di Kampung Tasik Permai, Pasir Mas semalam.

Dalam kejadian pada jam 12.15 tengah hari semalam, mangsa maut dipercayai terkena renjatan selepas terpegang kabel penyokong tiang elektrik ketika mahu mengambil buah nona dan rebah ke dalam air banjir pada paras 0.5 meter.

Di Terengganu mangsa banjir yang ditempatkan di lapan PPS bertambah kepada 1,047 orang daripada 269 keluarga pagi ini berbanding 899 orang (235 keluarga) malam tadi.

Portal Info Bencana JKM melaporkan mangsa banjir di Kuala Nerus kini adalah seramai 616 orang (161 keluarga), Setiu (37 orang; lapan keluarga) dan Kuala Terengganu (394 orang; 100 keluarga).

Cuaca diramal cerah sepanjang hari dengan hujan hanya di beberapa tempat di Terengganu.

Di Johor, keadaan banjir belum berubah dengan jumlah mangsa yang berada di PPS di Parit Sulong, Batu Pahat kekal 21 orang, sejak malam tadi sehingga 8 pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon berkata, 16 orang mangsa daripada tiga keluarga dari Kampung Parit Betong dan lima orang daripada satu keluarga merupakan penduduk Kampung Parit Abdul Rahman, Parit Sulong.

"Mangsa masih berada di PPS Sekolah Agama Seri Comel yang dibuka sejak Isnin lepas kerana kawasan kediaman masing-masing masih digenangi banjir termenung," katanya.

Banjir termenung berlaku apabila air tidak dapat mengalir keluar dengan baik ke sistem saliran dan ini menyebabkan air terus bertakung untuk satu tempoh yang lama. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus