Taman Jepun lambang persahabatan Ipoh-Fukuoka

Takashima (dua dari kiri) bersama-sama delegasi diberikan penerangan mengenai Taman Jepun ketika lawatan ringkas ke taman itu hari ini.
Takashima (dua dari kiri) bersama-sama delegasi diberikan penerangan mengenai Taman Jepun ketika lawatan ringkas ke taman itu hari ini.
A
A
A

IPOH - Kewujudan Taman Jepun yang terletak di Taman Rekreasi DR Seenivasagam di sini menjadi lambang persahabatan Bandar raya Ipoh dan Fukuoka yang menyambut ulang tahun ke-30 bandar berkembar itu.

Kehadiran Datuk Bandar Fukuoka, Takashima Soichiro bersama delegasinya ke Taman Jepun hari menjadi pelengkap kepada sebahagian daripada lawatan kerja tiga hari ke bandar raya Ipoh yang bermula semalam.

Delegasi seramai tujuh orang yang turut disertai Naib Pengerusi Majlis Bandaraya Fukuoka, Masanobu Kusuki dan Konsulat Jeneral Jepun di Pulau Pinang, Shinichiro Kanoya disambut Datuk Bandar Ipoh, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim bersama ahli majlis serta kakitangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Dalam lawatan selama kira-kira 30 minit itu, Takashima bersama Ahmad Suaidi turut menanam sebatang pokok 'tabebuia rosea' di taman berkenaan selain melihat keindahan taman yang dibuka secara rasmi pada 30 Jun 1995.

Mempunyai keluasan 1.2 hektar, Taman Jepun ini dibina dibina mengikut struktur landskap yang unik sama seperti Taman Jepun yang terdapat di Fukuoka.

Ahmad Suaidi (kanan) dan Takashima turut menanam pokok tabebuia rosea di Taman Jepun sempena sambutan 30 tahun Bandar raya Berkembar Ipoh-Fukuoka.
Ahmad Suaidi (kanan) dan Takashima turut menanam pokok tabebuia rosea di Taman Jepun sempena sambutan 30 tahun Bandar raya Berkembar Ipoh-Fukuoka.

Malah, landskap taman ini pula adalah hasil reka bentuk pegawai landskap MBI dengan dibantu khidmat nasihat dan kepakaran daripada pihak berkuasa Bandar Fukuoka.

Bandar raya Ipoh dan Bandar raya Fukuoka memeterai perjanjian secara rasmi sebagai bandar raya berkembar pada 21 Mac 1989 sekaligus menjadi perjanjian pertama membabitkan bandar raya di negara ini dengan negara Jepun.

Artikel Berkaitan:

Jalinan persabahatan kedua-dua bandar raya ini bertujuan memperkukuhkan perdagangan ekonomi, sains dan teknologi, budaya, sukan dan pendidikan.

Pelbagai program telah diadakan sejak program bandar raya berkembar dilaksanakan antaranya Konvensyen Kanak-Kanak Asia Pasifik, Program Pertukaran Pelajar, Program Pertukaran Belia Fukuoka.

Sempena sambutan 30 tahun hubungan kedua-dua bandar raya itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersama delegasinya telah mengadakan lawatan kerja selama tiga hari ke Fukuoka pada April lalu.

Lawatan tersebut diadakan bertujuan memberi pendedahan dan menimba pengalaman secara lebih berkesan melalui perkongsian amalan terbaik yang dilaksanakan oleh pengurusan kedua-dua bandar raya.