Pesuruhjaya Tinggi Australia sertai program kayuhan basikal MAIPs

Andrew turut mencuba membakar sate ketika singgah di rumah seorang asnaf sambil diperhatikan Tuanku Syed Faizuddin.
Andrew turut mencuba membakar sate ketika singgah di rumah seorang asnaf sambil diperhatikan Tuanku Syed Faizuddin.
A
A
A
KANGAR - Pesuruhjaya Tinggi Australia, TYT Andrew Goledzinowski teruja apabila berkesempatan menyertai program kayuhan basikal bersama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail semalam.

Program kayuhan basikal yang bermula sejak tahun 2013 dianjurkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan tema ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’.

TYT Andrew berkata, program kayuhan itu sangat unik kerana dapat melihat sendiri bagaimana seorang putera mahkota mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak berhubungan dan meluangkan masa mendengar rintihan rakyat jelata yang memerlukan.

Menurutnya, beliau juga amat gembira kerana dapat berbual bersama masyarakat setempat malah diundang ke beberapa buah rumah kampung termasuklah sebuah rumah yang disumbangkan oleh pihak MAIPs kepada golongan asnaf di negeri ini.

Kayuhan sejauh enam kilometer itu bermula dan berakhir di pekarangan Masjid Darul Ibadah Padang Behor, Behor Pulai, Kangar, disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Artikel Berkaitan:


TYT Andrewi yang turut diiringi isteri, Lyn Allan dan Setiausaha Pertama di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur, James Bryan yang mengadakan lawatan kerja ke Perlis selama dua hari.

Dalam pada itu Allan berkata, beliau juga teruja apabila berpeluang menyertai program berbasikal itu kerana dapat berinteraksi dengan pelbagai latar belakang masyarakat.

Katanya, beliau juga kagum dengan keindahan alam semula jadi dan juga keramahan rakyat di negeri ini.