Tak sempat sertai program AADK, remaja maut kemalangan

Keadaan motosikal yang dibonceng mangsa bersama rakannya dalam kemalangan di Kilometer 7, Jalan Bahau-Batu Kikir pada Sabtu. - Foto PDRM
Keadaan motosikal yang dibonceng mangsa bersama rakannya dalam kemalangan di Kilometer 7, Jalan Bahau-Batu Kikir pada Sabtu. - Foto PDRM
A
A
A

JEMPOL - Hasrat seorang pelajar yang mahu menyertai Program Skuad Antidadah di Telok Kemang, Port Dickson tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 7, Jalan Bahau-Batu Kikir pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kejadian pada jam 7.40 pagi itu menyebabkan mangsa, Muhammad Rizal Hakimi Yusrizalhanasri,17, yang membonceng motosikal Yamaha Y15ZR ditunggang rakan sekolahnya maut di tempat kejadian.

Menurutnya, mangsa bersama rakannya juga berusia 17 tahun merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Mansor dipercayai dalam perjalanan ke pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Serting untuk berkumpul sebelum bergerak ke Telok Kemang.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika sebuah motosikal Honda EX5 ditunggang lelaki berusia 44 tahun dari arah rumahnya di Kampung Serting Ilir menuju ke sebuah kedai berhampiran.

"Sebaik tiba di tempat kejadian datang motosikal ditunggang rakan mangsa dari arah belakang dan melanggar tepat di bahagian belakang motosikal ditunggang lelaki berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau, akibat kemalangan itu, motosikal dinaiki mangsa merempuh penghadang jalan di bahu kiri jalan dan menyebabkan mangsa tercampak di kawasan berkenaan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Bahau akibat kecederaan parah di kepala, manakala rakan mangsa patah kaki kanan dan luka di muka.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jempol untuk bedah siasat, manakala penunggang motosikal Honda EX5 pula patah kaki kiri.

"Polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan," katanya.