Kes jenayah di Kedah menurun

Abdul Hamid Bador
Abdul Hamid Bador
A
A
A

ALOR SETAR - Polis Kedah mencatatkan penurunan kadar indeks jenayah dari Januari sehingga November lalu apabila 5,059 kes direkod berbanding nilai ambang sebanyak 5,685 kes.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, penurunan berkenaan melibatkan 626 kes ataupun bersamaan 11.01 peratus di bawah pimpinan Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob.

Menurutnya, sebanyak 1,078 kes direkodkan untuk jenayah komersial dalam tempoh Januari hingga Oktober lalu.

"Hampir RM34 juta kerugian dicatatkan berbanding RM62 juta melibatkan 1,223 kes jenayah komersial pada tempoh kajian yang sama pada tahun 2018.

"Kita mendapati kadar kes direkodkan untuk jenayah narkotik menunjukkan kes permintaan dan bekalan telah mencatatkan sebanyak 7,670 kes dalam tempoh kajian Januari hingga Oktober 2019 berbanding 6,173 kes dalam tempoh sama pada 2018," katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor sempena majlis perasmian Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Terdahulu, Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan merasmikan Kompleks Ibu Pejabat IPK Kedah di Jalan Stadium di sini.

Turut berangkat, Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff, Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Tunku Laksamana Kedah, Dato' Seri Diraja Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Abdul Hamid berkata, beliau berharap seluruh warga Polis Kontinjen Kedah terus meningkatkan usaha dalam memastikan kesejahteraan masyarakat di negeri ini sentiasa terpelihara.

Dalam perkembangan sama katanya, kewujudan kompleks Ibu Pejabat IPK Kedah yang berkeluasan 9.5 ekar di Jalan Stadium di sini adalah bukti sokongan kerajaan ke arah memperkasakan lagi peranan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan mengambil cakna akan aspek kebajikan warga Pasukan.

Katanya, pembinaan prasarana bercirikan modern architecture dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti audotorium,dataran kawad, dewan, lokap, lot parkir bawah tanah dan bilik mesyuarat bernilai RM94 juta ini mula dilaksanakan pada 21 Oktober 2008 sebelum siap sepenuhnya pada 30 Julai 2012.

"Walaupun sudah tujuh tahun beroperasi sejak 1 Ogos 2012, kondisi kemudahan yang disediakan, dijaga serta dimanfaat sebaiknya oleh 5,818 warga kerja IPK Kedah," katanya.

Abdul Hamid berkata, kewujudan kompleks terbabit diharapkan menjadi stimulus kepada warga IPK Kedah untuk terus memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan boleh dipercayai sejajar dengan kehendak masyarakat.