Polis lancar talian hotline aduan kes jenayah

Ayob Khan
Ayob Khan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Rabu melancarkan talian hotline bagi membolehkan masyarakat mengemukakan sebarang aduan berkaitan jenayah.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ini merupakan usaha untuk membendung aktiviti jenayah daripada menjadi berleluasa.

"Untuk makluman, talian hotline 019-3764763 ini akan dikendalikan sepenuhnya oleh Urusetia JSJ.

"Talian hotline ini bertujuan bagi membolehkan masyarakat mengemukakan sebarang aduan, laporan atau maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah khususnya judi, pelacuran, gangsterisme, penyeludupan manusia, kontraban dan lain-lain jenayah bersindiket," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Tambah Ayob Khan, fokus utama yang perlu dititikberatkan dalam pasukan JSJ adalah mematahkan sebarang unsur gengsterisme yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam, sindiket pemerdagangan manusia, perjudian dalam talian serta kumpulan kongsi gelap yang terbabit dalam aktiviti rompakan, peras ugut dan curi kenderaan.

Ujarnya, JSJ perlu berada selangkah di hadapan penjenayah atau sindiket agar kegiatan jenayah dapat dibendung secara lebih berkesan.

"Semua pegawai dan anggota JSJ perlu memantapkan lagi penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat khususnya dalam mempertingkatkan lagi kualiti kertas siasatan dan peningkatan kadar pendakwaan serta sabitan kes-kes jenayah," jelasnya.