MB Johor dahului senarai terima pingat

Osman
Osman
A
A
A
JOHOR BAHRU - Menteri Besar, Datuk Osman Sapian mendahului senarai 62 penerima darjah dan pingat kebesaran sempena sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Rasmi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, hari ini.

Beliau menerima kurniaan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Dato' Sri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) yang membawa gelaran Datuk.

Selain Osman, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani turut menerima kurniaan darjah tersebut.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, selain itu, seramai lima individu diperkenan menerima kurniaan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Kedua Dato' Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) yang turut membawa gelaran Datuk.

Menurutnya, penerima DMIJ adalah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Amran A Rahim dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Adib Azhari Daud.

Selain itu, Pengarah Tanah dan Galian Johor, Halim Hasbullah; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan), Ramlee A Rahman serta Pegawai Pengiring (ADC) Sultan Johor, Senior Asisten Komisioner R Sugumaran.

"Seramai 26 individu diperkenan menerima Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Ketiga Setia Mulia Sultan Ibrahim Johor (SIJ) dan 29 penerima Pingat Sultan Ibrahim Johor Pangkat Kedua (PSI II)," katanya pada sidang media, semalam.

Sambutan ulang tahun Hari Keputeraan rasmi Sultan Johor diadakan hari ini dengan empat majis rasmi iaitu Istiadat Doa Kesyukuran, Majlis Teriman, Majlis Mengadap Takzim serta Majlis Darjah dan Pingat di Istana Besar.

Majlis Jamuan Teh bersama rakyat pula akan diadakan di Stadium Hoki Bandar Penggaram, Batu Pahat, Sabtu ini.
Artikel Berkaitan: