Peragaan separuh bogel insiden mendukacitakan: Rais

Antara peserta ekspo berkenaan - Foto Tattoo Malaysia Expo Gambar kecil: Rais Yatim
A
A

SHAH ALAM - Peragaan separuh bogel sempena Tatoo Malaysia Expo 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini nyata insiden yang mendukacitakan.

Budayawan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, penganjuran berkenaan secara keseluruhannya memberikan gambaran seolah-olah sudah tiada garis panduan khususnya yang melibatkan warisan budaya negara.

"Perimbangan harus dibuat pihak berkuasa kementerian menarik pelancongan ala Malaysia yang menghormati budaya tempatan yang dikongkong atau ditentukan sosio budaya dan nilai-nilai pelbagai kaum.

"Dalam hal ini tentu sekali bertentangan dengan nilai di Malaysia khasnya bagi kita menjadikan Islam sebagai agama rasmi," katanya bagi mengulas berhubung penganjuran berkenaan yang berlangsung Jumaat lalu.

Menurutnya, ia sekali gus menggambarkan garis panduan pertunjukan awam yang diluluskan Kabinet pada 2010 dan 2012 lalu sudah hilang.

"Saya berpendapat kita sudah hilang garis panduan seperti saya berada dalam kerajaan dahulu.

"Saya suka merujuk kepada petua garis panduan pertunjukan awam yang telah diluluskan oleh Kabinet pada tahun 2010 dan 2012 lalu," katanya.

Sementara itu, Rais menyifatkan sebarang keputusan berhubung penganjuran ekspo berkenaan boleh dibuat oleh menteri, timbalan menteri atau ketua setiausaha kementerian yang berkaitan.

Katanya, keputusan berhubung penganjuran ekspo sedemikian tidak perlu mengambil masa yang lama jika dilihat kepada kandungan penganjurannya.

"Jadi dalam soal itu tak payah panjang logiknya, menteri atau timbalan menteri atau ketua setiausaha boleh buat keputusan. Lihat kandungan tatu tadi.

"Jadi, apa yang berlaku ini memang mendukacitakan seolah-olah kita ini tak ada garis panduan budaya dan warisan kita," katanya.

Difahamkan, ekspo berkenaan membabitkan penyertaan 35 negara dan pernah dianjurkan di Sabah pada 2015, 2016 dan 2017 lalu.