Kawalan keselamatan Malaysia-Indonesia dipertingkat

Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. - Foto Bernama
Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Kawalan keselamatan sempadan Malaysia-Indonesia di sebelah Sarawak akan diperketat susulan insiden penculikan lima rakyat negara ini oleh pasukan keselamatan republik itu pada bulan lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya telah mengambil tindakan proaktif bersama Majlis Keselamatan Negeri yang akan menyelaraskan usaha tersebut.

“Usaha ini juga melibatkan pasukan tentera dan pihak berkuasa tempatan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada 347 penerima, di sini hari ini.

Dalam kejadian 11 Dis itu, lima pembalak Malaysia diculik sebagai tebusan oleh sekumpulan lelaki yang dikatakan anggota tentera Indonesia di hutan berhampiran Kampung Danau Melikin. Dua daripada mereka dilapor dibebaskan pada hari sama bagi membolehkan mereka membayar wang tebusan manakala tiga lagi dibebaskan keesokannya susulan perundingan.

Berikutan kejadian itu, Wisma Putra menghantar nota bantahan kepada kerajaan Indonesia mengutuk perkara berkenaan.

Berhubung kes penculikan itu, Mohamad Fuzi berkata pihaknya sedang menunggu arahan selanjutnya daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan seterusnya.

Mengenai majlis berkenaan, Mohamad Fuzi berkata penganugerahan melibatkan pegawai dan anggota pegawai polis yang masih berkhidmat dan telah berbakti kepada negara dengan cemerlang dalam menjaga keamanan dan keselamatan rakyat negara ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: