Kurangkan birokrasi bantu rancakkan sektor peniaga kecil

Saifuddin (lima dari kiri) dan Mukhriz (enam dari kanan) bergambar bersama penerima anugerah sempena sambutan Hari Penjaja Dan Peniaga Kecil (HPPK) 2019 peringkat kebangsaan di pekarangan Stadium Darul Aman.
Saifuddin (lima dari kiri) dan Mukhriz (enam dari kanan) bergambar bersama penerima anugerah sempena sambutan Hari Penjaja Dan Peniaga Kecil (HPPK) 2019 peringkat kebangsaan di pekarangan Stadium Darul Aman.
A
A
A

ALOR SETAR - Satu pekeliling akan dikeluarkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) setiap negeri untuk memudahcara serta mengurangkan kerenah birokrasi dalam merancakkan perniagaan penjaja dan peniaga kecil di negara ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pekeliling itu dikeluarkan hasil perbincangan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam melengkapkan rantaian perkhidmatan melibatkan agensi bawah kementerian berkenaan.

Menurutnya, ia boleh dijadikan panduan bagi melancarkan urusan memandangkan setiap PBT mempunyai peraturan yang berbeza.

“Maklum balas yang diterima positif, ada PBT sanggup keluarkan dana sehingga RM700,000 untuk siapkan tapak penjaja dan sebagainya tetapi ada PBT berdepan kekangan kewangan namun bersedia permudahkan proses dan mengurangkan birokrasi,” katanya pada sidang akhbar selepas program sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) 2019 peringkat kebangsaan yang dirasmikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz

Mahathir di pekarangan Stadium Darul Aman semalam.

Saifuddin berkata, pelesenan penjaja dan peniaga kecil turut berkait dengan agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat dari aspek keselamatan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi kelulusan reka bentuk dan beberapa agensi lain.

“Apabila ada garis panduan, dapat permudahkan urusan kelulusan lesen kepada peniaga, mungkin sebelum ini ada sedikit kesulitan namun saya yakin boleh ditangani dengan baik kerana ia bukan polisi tetapi berkaitan pentadbiran,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebanyak 1.5 juta mendaftarkan perniagaan bagi sektor peniaga kecil dalam negara.

Artikel Berkaitan:

“Saya percaya masih ramai belum daftar. Saya harap individu yang mahu memulakan perniagaan agar daftar perniagaan terlebih dahulu untuk kelancaran urusan.

"Kita wujudkan Majlis Perundingan Penjaja dan Peniaga Kecil terdiri daripada pemimpin persatuan bawah tanggungjawab Exco berkaitan, untuk mengurus hal berkaitan penjaja dan peniaga kecil dari aspek pelesenan,

tapak, premis perniagaan, pinjaman serta latihan,” katanya.

Saifuddin berkata, pihaknya turut bercadang mewujudkan kembali anugerah penjaja pelbagai kategori pada tahun hadapan selepas ia dihentikan pada 2014.

“Anugerah ini kelak akan beri lebih dorongan kepada penjaja selain penghargaan kepada mereka merancakkan sektor ekonomi negara,” katanya.

Katanya, antara inisiatif SSM menggalakkan pendaftaran perniagaan kepada usahawan muda adalah dengan memperkenalkan pelbagai kempen termasuk memansuhkan yuran pendaftaran bawah peruntukan RM10 juta.

“Kempen ini telah digerakkan dan akan diperhebatkan lagi pada tahun depan. Ini antara inisiatif kementerian melalui SSM untuk galakkan pendaftaran kalangan usahawan,” katanya.