Peratus rakyat anti Tun M lebih tinggi pada PRK Tanjung Piai

Dari kiri Noor Nirwandy; Hasni, Badhrulhisham, Kah Keong dan Sivamurugan. - FOTO ROSLI TALIB
Dari kiri Noor Nirwandy; Hasni, Badhrulhisham, Kah Keong dan Sivamurugan. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Peratus rakyat anti kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ditunjukkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai didakwa jauh lebih tinggi berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, gambaran jelas itu dapat dilihat berdasarkan jumlah kehadiran hambar pengunjung pada program ceramah perdana calon Pakatan Harapan (PH) pada PRK Parlimen Tanjung Piai lalu yang dihadiri Dr Mahathir juga Pengerusi PH.

Menurutnya, jumlah kehadiran penduduk pada malam sebelum hari pengundian sebenarnya amat mendukacitakan, mengambil kira soal reputasi Dr Mahathir yang sepatutnya mampu menarik kehadiran puluhan ribu hadirin.

"Beberapa kajian dibuat sebelum 2 November lalu (hari penamaan calon) dan rata-ratanya menunjukkan kadar peratusan ketidakyakinan penduduk Tanjung Piai terhadap kepimpinan Dr Mahathir jauh lebih tinggi berbanding PRU14.

"Bilangan hadirin dianggarkan 3,000 orang itu pun dikenal pasti bukan orang tempatan sekali gus menunjukkan rakyat Parlimen Tanjung Piai tidak yakin dengan kepimpinan Dr Mahathir mentadbir negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Sinar Siri 142 membawakan tajuk ‘Pasca Tanjung Piai: Pilihan Atau Protes’ di Dewan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), Kumpulan Media Karangkraf di sini malam tadi.

Wacana kali ini menampilkan Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin sebagai moderator.

Selain Ir Hasni, tiga panelis lain ialah Presiden Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz; Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Mak Kah Keong dan penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian.

Artikel Berkaitan:

Sentimen sama turut dikongsi Dr Badhrulhisham yang juga salah seorang daripada enam calon PRK Parlimen Tanjung Piai pada 16 November lalu.

Menurutnya, ramai tidak menyedari sebenarnya PRK Tanjung Piai adalah merujuk persoalan lebih besar iaitu isu pertembungan di antara Dr Mahathir dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menentukan tempoh peralihan tampuk pentadbiran kerajaan PH.

ARTIKEL BERKAITAN: Muafakat Nasional kuasai Tanjung Piai

"Sebenarnya PRK Tanjung Piai lebih besar daripada apa dilihat. Kita cerita pasal PH dan BN, namun persoalan penting adalah isu pertembungan (kem) Anwar dan Tun (Dr Mahathir) yang lebih menjadi perhatian.

"Sepanjang pemerhatian saya, sama ada pihak Anwar, PKR dan DAP, langsung tidak berkempen untuk calon (PH). Sama juga dengan MCA tidak berkempen untuk calon mereka sendiri. Mengapa? Ini disebabkan kesan pertembungan dua pemimpin terbabit," katanya.

Namun bagi Kah Keong pula, Gerakan melihat keputusan PRK Parlimen Tanjung Piai adalah manifestasi ketidakpuashatian mereka terhadap hasil kerja dipamerkan menteri-menteri dalam kerajaan PH.

"Sama ada pengundi anti Tun (Dr Mahathir), itu bukan satu persoalan. Persoalan penting bagi mereka adalah sama ada menteri-menteri PH buat kerja," katanya.