Muafakat Nasional kuasai Tanjung Piai

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang bergambar bersama pimpinan parti selepas menandatangani piagam Permuafakat Nasional pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 16 September lalu. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A

BERDASARKAN keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kerusi Parlimen Tanjung Piai tidak mungkin menjadi milik Pakatan Harapan(PH) kerana jumlah undi BN jika dicampurkan dengan Pas, gabungan dua parti pembangkang itu lebih kuat dan berpengaruh.

Inilah mungkin difikirkan oleh UMNO apabila memberikan laluan kepada calon yang sama iaitu Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng daripada MCA kembali bertarung pada Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk Parlimen Tanjung Piai. Percaturan itu ternyata membuahkan hasil.

Kemenangan besar Jeck Seng dengan majoriti 15,086 undi cukup mengejutkan BN dan Pas dan sebaliknya menjadi mimpi ngeri kepada PH.

Kerjasama UMNO dan Pas atas nama Muafakat Nasional terbukti berjaya menarik ramai pengundi Melayu untuk memberi undi kepada calon BN yang bukan Melayu.

Lebih menggembirakan BN ialah pengundi Cina telah beralih angin dengan memangkah Jeck Seng yang sememangnya dikenali sebagai wakil rakyat yang rajin dan mesra.

Kemenangan BN juga memberi pengertian yang besar kepada UMNO. Ia benar-benar menyuntik semangat kepada parti pembangkang itu mewujudkan pakatan lebih kuat bersama Pas dan MCA.

Bagi pengundi Tanjung Piai, sama ada pengundi Melayu atau Cina, soal MCA yang belum menyertai Muafakat Nasional bukan menjadi keutamaan.

Sebaliknya apa yang penting, mereka mahu Jeck Seng menang pada PRK kali ini.

Apakah dengan kemenangan Jeck Seng barangkali akan membuka mata kepada MCA untuk menimbang menyertai Muafakat Nasional?

Tindakan pengundi Cina Tanjung Piai menghukum PH kerana kegagalan parti pemerintah itu menunaikan janji manifesto PRU14 cukup jelas.

Semua pemimpin PH perlu mengakui bahawa mereka telah gagal memenuhi hasrat rakyat.

Sepanjang tempoh kempen PRK kali ini, tidak banyak isu perkauman dan agama yang dimainkan oleh semua pemimpin politik. Inilah politik matang yang ingin dilihat oleh rakyat Malaysia.

Sentimen mengundi berasaskan kaum dan agama seharusnya dibendung, sebaliknya kewibawaan seseorang wakil rakyat untuk sedia berkhidmat kepada rakyat perlu menjadi sandaran utama.