X

Kindly register in order to view this article
!

Penggabungan bukan sebab kekangan kewangan

A
A

KUALA LUMPUR - Cadangan penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) tidak didorong oleh faktor kekangan kewangan.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sebaliknya berkata peruntukan belanjawan mengurus bagi kedua-dua universiti itu menunjukkan peningkatan.

Katanya, UniSZA pada tahun hadapan dijangka menerima peruntukan RM173 juta daripada kerajaan berbanding RM140 juta tahun ini manakala UMT pula RM165.5 juta berbanding RM161 juta tahun ini.

“Kementerian akan memastikan penggabungan kedua-dua universiti ini tidak akan merugikan mana-mana pihak terlibat. Kita juga akan pastikan tidak timbul isu penggabungan yang menggadaikan kepakaran, visi dan tumpuan semasa akademik universiti,” katanya ketika sesi jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) mengenai penggabungan itu.

Jelas Maszlee, penggabungan UMT dan UniSZA juga adalah lonjakan bagi memperkasa bidang fokus kedua-dua universiti itu selain meningkatkan kualiti perkhidmatan yang memberi nilai tambah kepada mahasiswa, fakulti serta komuniti setempat.

“Negeri Terengganu sendiri secara khusus turut mendapat limpahan manfaat menerusi pemerkasaan hab pendidikan di negeri itu yang bakal menjadi sebuah universiti antarabangsa serta hab ilmu serantau terutama kepada kawasan Indo-China dan ASEAN.

“Kementerian juga berpandangan dengan penggabungan ini, kedua-dua buah universiti akan mempunyai lebih ramai profesor sekali gus meningkatkan keberadaan di peringkat antarabangsa sebagai sebuah universiti maritim tetapi mempunyai dasar dan asas kepada keilmuan Islam,” katanya. - Bernama