X

Kindly register in order to view this article
!

Bendera bucu lima: Polis siasat pelbagai aspek, kata Muhyiddin

Muhyiddin - Foto fail
A
A

BANGKOK - Polis menyiasat isu bendera Malaysia dengan bintang bucu lima daripada pelbagai aspek mengikut kanun keseksaan dan tindakan sewajarnya akan diambil, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, insiden paparan Jalur Gemilang yang hanya mempunyai lima bucu bintang itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati dan kemarahan dalam kalangan rakyat Malaysia walaupun pihak penganjur telah memohon maaf.

“Kita tidak mahu hal ini terus berlaku dan dilakukan oleh sesiapa sekali pun.

“Pihak polis sedang menyiasat daripada beberapa sudut berdasarkan peruntukan (undang-undang) yang boleh diguna pakai... kita tunggu hasil siasatan dan tindakan sewajarnya boleh diambil,” katanya hari ini.

Muhyiddin berada di sini kerana menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN berkaitan Jenayah Rentas Negara (AMMTC) ke-13.

ARTIKEL BERKAITAN: Bendera Malaysia bintang lima: MABA mohon maaf

'Mustahil tak peka bendera Malaysia, bukan duduk sehari dua' - Netizen

'Satu pengkhianatan terbuka kepada negara tercinta'

Sejak Isnin, satu video berdurasi seminit 42 saat menunjukkan Jalur Gemilang dengan bintang pecah lima dipaparkan di skrin ketika majlis pembukaan Kejohanan Kebangsaan Bola Keranjang Piala Lum Mun Chak bawah 15 tahun anjuran Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) tular di media sosial.

Paparan bendera Malaysia yang silap itu ditayangkan ketika hadirin sedang menyanyikan lagu Negaraku pada majlis pembukaan tersebut telah mendapat pelbagai kecaman daripada netizen.

MABA memohon maaf dan bertanggungjawab sepenuhnya berhubung kesilapan memaparkan bendera Malaysia yang salah ketika perasmian Kejohanan Bola Keranjang kali ke-28 itu.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilaporkan menyifatkan inisiden itu ‘sangat memalukan’ dan kementeriannya akan menjalankan siasatan terperinci berhubung perkara itu sebelum memutuskan tindakan yang selanjutnya.

Presiden MABA, Datuk Lua Choon Han berkata, pihaknya mengambil tanggungjawab sepenuhnya berhubung kesilapan itu.

Katanya, kontraktor produksi siaran langsung pembukaan kejohanan itu juga ditamatkan perkhidmatan setelah didapati cuai memaparkan Jalur Gemilang yang salah. - Bernama