Petani gusar, baja dinanti tak muncul-muncul

Petani berhimpun bagi meluahkan kekecewaan mereka kerana kelewatan baja diedarkan di kawasan mereka.
Petani berhimpun bagi meluahkan kekecewaan mereka kerana kelewatan baja diedarkan di kawasan mereka.
A
A
A

KUALA PERLIS - Kelewatan pengedaran baja menggusarkan penanam padi di daerah ini kerana boleh menjejaskan kualiti padi.

Beberapa petani yang ditemui hari ini mendakwa aktiviti menabur benih sudah dilakukan kira-kira 40 hari lalu.

Razali Saad berkata, pengedaran baja sepatutnya dilakukan antara September dan Oktober lalu kerana baja pertama perlu ditabur ketika usia padi 16 hari dan seterusnya pada hari ke 35.

Razali
Razali

"Tanaman juga akan dibaja dalam tempoh antara hari ke 45 hingga 50 tetapi pada musim ini padi belum dibaja. Ini akan merencatkan pertumbuhan padi," katanya.

Masalah sama turut mengecewakan seorang petani muda, Muhammad Syafiq Mohd Shukri yang mahu baja berkenaan diedarkan segera bagi memastikan pengeluaran padi berkualiti.

Muhammad Syafiq yang berkelulusan ijazah sarjana Pengajian Perhubungan Asia Timur dari Yokohama, Jepun memberitahu, kelewatan pengedaran baja berlaku sejak musim kedua tahun lalu dan berlarutan sehingga kini.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Syafiq
Muhammad Syafiq

"Jika masalah kelewatan ini tidak segera diatasi hasrat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) untuk meningkatkan pendapatan petani sehingga 10 tan metrik sehektar akan gagal.

"Masalah ini juga akan menjejaskan pendapatan dan juga mengganggu semangat kami," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Badan Bertindak Petani MADA, Che Ani Mat Zain berkata, berdasarkan laporan awal diterima purata cuma kira-kira 20,000 beg baja yang dihantar membabitkan 27 Pertubuhan Peladang Kawasan MADA Kedah/Perlis.

Che Ani
Che Ani

"Jumlah itu belum cukup menampung permintaan seluruh 68,000 keluarga petani yang mengusahakan sawah dalam kawasan MADA," katanya.

“Jumlah kesemua baja yang belum dihantar ialah 1,890,000 beg lagi dan itu purata sepatutnya," katanya.

Che Ani memberitahu, perkara itu sudah dikemukakan pada pihak tertinggi MADA dan berharap kementerian mempunyai strategi lain bagi mengatasi masalah berkenaan kerana ekonomi majoriti penduduk di Kedah dan Perlis bergantung kepada tanaman padi.

"Jika dibiar berlarutan ia turut menjejaskan stok beras negara yang bergantung 40 peratus dari petani dalam kawasan MADA," katanya.