Tak wajar undian gugur Dr Maszlee, kata Naib Canselor UPSI

Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran
Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran mempersoalkan tindakan sebuah portal berita yang memaparkan keputusan undian dalam talian Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik perlu digugurkan dalam barisan Kabinet.

Dr Mohammad Shatar menganggap undian berkenaan tidak wajar dilakukan dan mendakwa ia berniat jahat.

Beliau berkata, dapatan dibuat oleh portal berkenaan juga adalah kurang tepat dan tidak menyeluruh memandangkan ia hanya pandangan sebilangan kecil sahaja sedangkan jumlah rakyat Malaysia kira-kira 30 juta.

"Sepanjang hampir dua tahun beliau memegang jawatan sebagai Menteri Pendidikan, kami berpuas hati dan sentiasa menyokong dasar-dasar atau hala tuju yang diberikan.

"Program ataupun agenda yang telah dicetuskan oleh Dr Maszlee telah berjaya dan mampu untuk menglobalisasi universiti-universiti awam.

"Malah beberapa agenda yang telah diketengahkan seperti melebarkan sayap dan pengaruh universiti-universiti awam," katanya kepada Sinar Harian.

Jumaat lalu, portal berkenaan meletakkan nama Dr Maszlee sebagai menteri yang meraih undian tertinggi untuk digugurkan sekiranya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melakukan rombakan Kabinet.

Terdahulu, seramai 18 Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni institusi pengajian tinggi awam (IPTA) melalui kenyataan bersama percaya undian berkenaan bertujuan menjatuhkan kredibiliti menteri itu.

Artikel Berkaitan:

Mereka sebulat suara mempertikaikan dan menolak keputusan undian yang dilaksanakan oleh portal berita berkenaan.

Mereka yang menyatakan sokongan itu adalah Prof Madya Dr Mohd Afandi Salleh (Universiti Sultan Zainal Abidin); Prof Dr Othman A Karim (Universiti Kebangsaan Malaysia); Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin (Universiti Malaysia Pahang); Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan (Universiti Malaysia Perlis); Prof Madya Dr Zulkifli Hasan (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia); Prof Dr Abdul Aziz Abdul Raman (Universiti Malaya); Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman (Universiti Putra Malaysia); Prof Madya Dr Afandi Ahmad (Universiti Tun Hussein Onn Malaysia) dan Prof Madya Dr Hendrik Lamsali (Universiti Utara Malaysia).

Turut serta menyokong ialah Prof Dr Aldrin Abdullah (Universiti Sains Malaysia); Prof Dr Azizan Abdullah (Universiti Teknologi Mara Malaysia); Prof Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani (Universiti Islam Sains Malaysia); Prof Dr Zaliman Sauli (Universiti Malaysia Kelantan); Prof Dr Raman Noordin (Universiti Malaysia Sabah); Mejar Prof Dr Muhd Zu Azhan Yahya (Universiti Pertahanan Nasional Malaysia); Prof Dr Mohd Shahizan Othman (Universiti Teknologi Malaysia); Dr Nurulfajar Abd Manap (Universiti Teknikal Malaysia Melaka) dan Prof Dr Md Amin Md Taff (Universiti Pendidikan Sultan Idris).