DUN Melaka tolak usul lantik Pengerusi PKR Melaka sebagai senator

Adly ketika persidangan DUN, di Seri Negeri, Ayer Keroh. - Foto Sinar Harian
Adly ketika persidangan DUN, di Seri Negeri, Ayer Keroh. - Foto Sinar Harian
A
A
A

MELAKA - Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini menolak usul pelantikan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Melaka, Datuk Halim Bachik, sebagai Ahli Dewan Negara selepas pengundian menyaksikan 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menolak, 12 ADUN menyokong dan tiga ADUN berkecuali.

Kesemua 13 ADUN Barisan Nasional (BN) menolak usul itu, 12 ADUN Pakatan Harapan (PH) menyokong, bagaimanapun menarik perhatian dua ADUN PH daripada PKR tiada dalam dewan ketika undian dilakukan menyebabkan Speaker DUN Melaka, Datuk Omar Jaafar mengumumkan keputusan sedemikian.

Dua ADUN daripada PKR itu ialah Ginie Lim Siew Lin (Machap Jaya) dan Datuk Muhamad Jailani Khamis (Rembia) manakala G. Saminathan (DAP-Gadek) dibenarkan tidak menghadiri persidangan itu kerana sedang menghadapi tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE).

Terdahulu usul itu dicadang Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari manakala ketika perbahasan Damian Yeo Shen Li (DAP-Duyong) dan Datuk Gue Teck (PKR-Klebang) menyokong manakala Ketua Pembangkang, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) dan Datuk Sulaiman Md Ali (BN-Lendu) tidak menyokong.

Ketika ditemui di luar dewan, Adly berkata, undian di dalam dewan hari ini tidak memihak kepada PH apabila dua ADUN itu bertindak keluar dewan dan seorang lagi tidak dapat hadir kerana mengikuti perbicaraan mahkamah.

“Kita akan dapatkan maklumat daripada ahli dewan yang lain dan juga penjelasan daripada dua ahli dewan yang keluar dewan,” katanya.

Adly berkata, pihaknya tidak menjangka bahawa perkara ini berlaku dan akan membuat semakan dan menolak kemungkinan terdapat unsur sabotaj. - Bernama

Artikel Berkaitan: