X

Kindly register in order to view this article
!

Isu Nafas: Biar menteri, kementerian sesuai beri penjelasan

Mahfuz menyampaikan Anugerah Tokoh Amanah kepada aktivis, Zamhuri Abu Tahir pada Konvensyen Amanah Wilayah Persekutuan kali ke-4 2019 di Dewan Rumah Kelab Alumni UM, Jalan Susur Damansara hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar menyerahkan kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berhubung pemberian tender Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

Menurutnya, pada 2018, semua pihak turut bersetuju dengan kenyataan bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar yang menyatakan sokongan kepada Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul supaya kerajaan berikan kontrak penyediaan input pertanian (baja) kepada Nafas.

"Itu kenyataan Noh Omar. Noh Omar hari ini pula ambil peluang jadi batu api. Bagi saya, politik sebegini tidak seharusnya diberikan tempat dalam negara ini. Politik harus terbuka.

"Oleh itu, kita harap pembangkang tidak terus memainkan politik murahan dalam isu berkenaan. Kita mesti berjiwa petani kerana itu yang sedang dibawa oleh kerajaan hari ini," katanya selepas Konvensyen Amanah Wilayah Persekutuan kali ke-4 2019 di Dewan Rumah Kelab Alumni Universiti Malaya (UM), Jalan Susur Damansara di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang mempersoalkan mengenai urusan pemberian tender Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kepada Nafas.

Mahfuz yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, penjelasan mengenai perkara itu sudah pun dibuat oleh Salahuddin.

Sementara itu, Mahfuz berharap Jawatankuasa Pimpinan sesi 2019-2022 baharu tidak membawa kepada kerenggangan atau perpecahan dalam parti, malah pemilihan itu diharap dapat merapatkan lagi hubungan sesama ahli.

"Yang penting selepas ini kita kena rapatkan semula hubungan, ada pemilihan satu raga tukar satu raga. Jangan pinggirkan yang tersingkir sebab parti kita belum cukup kuat dan kita kena tunjukkan perpaduan antara orang lama dan baru.

"Orang lama dengan pengalaman, orang baharu dengan fikiran yang jauh ke hadapan, jadi kedua-dua ini perlu kita gabungkan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus